KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) menyerahkan hak memilih kejohanan, kepada tiga atlet remaja negara, yang melayakkan diri ke Kejohanan Dunia bawah 20 tahun (B-20) di Lima, Peru 27 hingga 31 Ogos depan.
Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM, Robert J Ballard berkata, keputusan terletak di tangan atlet terbabit berikutan Kejohanan Dunia bertembung dengan Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
“Bukan keputusan KOM menentukan mereka beraksi di mana, ia adalah keputusan atlet itu sendiri sama ada mereka boleh sertai atau tidak.
“Jika mereka mahu ke Peru, kami di KOM akan persembahkan cadangan kepada Jawatankuasa Pemilihan untuk pertimbangan.
“Ya, apa juga keputusan dibuat atlet, KOM akan menghormatinya dan tidak sesekali mahu memaksa atlet pergi ke mana-mana kerana untuk ke Peru, anda perlukan masa untuk sekurang-kurangnya masa tiga hingga lima hari di Florida atau tempat lain untuk menghilangkan jet lag sebelum menaiki penerbangan ke Peru,” kata Ballard, ketika menyambut kepulangan atlet olahraga negara kembali dari Kejohanan Olahraga Asia B-20 di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Untuk rekod, Sukma Sarawak akan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos.
Di Dubai, tiga atlet olahraga remaja berjaya melepasi catatan kelayakan ke Kejohanan Dunia B-20, iaitu Pengiran Aidil Auf Hajam dalam acara 200 meter (m), Ng Tak Sing (lompat kijang) dan Hanssen Yap (100m).
Aidil mencatat masa 21.28 saat (s) melepasi had 21.35s manakala Tak Sing mencatat lompatan 15.62 meter, mengatasi had 15.50 meter, masing-masing meraih pingat gangsa.
Hanssen pula mencatat masa 10.41s mengatasi kelayakan 10.55s.