KEHILANGAN beberapa tonggak pemain diakui menjadi punca utama prestasi pasukan Sabah FC tidak seperti yang diharapkan dari semasa ke semasa.

Perkara ini diakui sendiri oleh pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee yang jelas kecewa dengan keputusan 0-3 ketika aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur (KL) City FC, pada malam Rabu.

Kim Swee turut tidak menafikan bahawa ketiadaan tunjang pasukan seperti Saddil Ramdani, Stuart Wilkin dan beberapa yang lain memberi kesan mendalam kepada pasukan.

Aksi Liga Super antara KL City dan Sabah FC malam Rabu.

Walaupun sudah meletakkan pemain sedia ada di posisi yang ditinggalkan oleh beberapa tonggak utama berkenaan, namun jurang antara pemain (muda) dan pemain yang kerap bermain masih jelas mencacatkan rentak permainan.

“Keputusan mengecewakan dimana kita gagal dapatkan sebarang mata. Prestasi seperti yang tidak kita inginkan, selepas ketinggalan terutama layangan kad merah menyukarkan pasukan kita.

“Kita mempunyai beberapa tunjang yang masih cedera dalam barisan utama. Keadaan tidak memihak kepada kita daripada segi kecederaan dan kita perlu fikirkan terutama pemain yang masih bersama kita untuk mengisi kekosongan.

Kapten untuk kedua-dua pasukan.

“Jadi mereka perlu mengambil peluang ini untuk buktikan mereka mampu beraksi sebagai pemain utama. Saya percaya mereka masih memerlukan masa dan perlu lebih konsisten ketika dalam perlawanan,” ujar Kim Swee ketika ditemui pada malam Rabu.

Dengan keputusan tewas 0-3 kepada KL City malam Rabu, ia sekali gus menyaksikan kekalahan Sabah FC buat kali keempat dalam keseluruhan perlawanan  yang sudah dilalui musim ini termasuk saingan Piala FA.