PENOLONG Jurulatih Penang FC, Manzoor Azwira Abdul Wahid jelas kecewa dengan mutu pengadilan yang menyaksikan semangat skuad bimbingannya disentap ketika tewas 0-3 kepada Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu.
Harimau Kumbang dinafikan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan dan hasil dari serangan balas yang dilakukan, Selangor berjaya menjaringkan gol pertama yang mendapat bantahan dari majoriti pemain Penang hingga berlanjutan ke terowong pemain ketika rehat babak pertama.
Ketiadaan dua penyerang import juga turut dirasai Manzoor namun dia masih percaya dengan kemampuan pasukannya dan mahu terus bersaing sebagai satu pasukan meskipun pengurusan Penang FC dilihat tidak akan membawa masuk pemain baharu ketika jendela perpindahan kedua berlangsung.
“Pada awal perlawanan saya dah beritahu Selangor adalah pasukan yang kuat ditambah dengan pemain baharu dan kita akur dengan perkara ini. Tetapi pemain cuba seimbangkan permainan kerana kita tahu mereka akan menyerang namun kita masih ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi penjaga gol lawan cemerlang nafikan dua percubaan terbaik kami.
“Pemain import beri satu perbezaan dalam setiap pasukan dan kita perlu terima kenyataan ini. Kami rasa kekurangan itu kerana kecederaan pada Gomez dan Soony dan tidak pasti apa akan berlaku seterusnya.
“Gol pertama Selangor bukanlah ‘turning point’ tetapi akibat dari perkara yang tidak semestinya berlaku namun pemain cuba terutama pada babak kedua untuk rapatkan kedudukan tetapi lawan dapat jaringkan lagi dua gol.
“Selepas melihat video, kami mungkin hantar laporan mengenai mutu pengadilan. Perkara ini sangat mengejutkan dalam bola sepak moden kerana dia menyentak semangat pemain dan kami dibolosi atas akibat keputusan yang kami rasa tidak adil,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Manzoor juga turut menjelaskan bahawa skuad Penang FC musim ini telah berjaya mengatasi kutipan mata keseluruhan musim lalu dan berharap akan ada kemenangan di tempat lawan dan tidak mahu mengulas lanjut mengenai khabar angin perpindahan pemain.
“Saya harap akan ada kemenangan di tempat lawan selepas ini dan kami perlu lebih berusaha untuk mencapainya tetapi kami telah berjaya mengatasi jumlah rekod mata musim lepas.
“Banyak nama dikaitkan dengan Penang tetapi tidak pasti mana satu yang betul. Senyap ini kadang ada kadang tiada namun kita tetap berusaha dan tidak mengalah untuk hadapi ujian ini bersama-sama sebagai satu pasukan,” tambahnya.
Kekalahan itu menyaksikan Penang turun ke tangga ke-10 liga dengan 19 mata hasil lima kemenangan, empat seri dan lapan kekalahan dan bakal berhadapan Sabah FC di gelanggang sendiri.