KETUA Jurulatih dan Pengurus Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menganggap perlawanan separuh akhir menentang Selangor FC pada Isnin adalah sukar buat pasukannya walaupun mencatatkan kemenangan besar 4-0 dan layak ke final Piala FA buat tahun kedua berturut-turut.
Atas sebab itu dia memberikan kredit kepada para pemainnya yang menunjukkan kesungguhan sejak dari persiapan pasukan dalam latihan sehingga dapat diterjemahkan di atas padang untuk kemenangan bergaya di hadapan puluhan ribu penyokong.
“Ianya perlawanan yang sukar apabila bertemu pasukan yang baik dengan pemain yang baik tetapi ia juga adalah cabaran yang baik untuk kami tunjukkan cara permainan kami dan kredit saya berikan kepada pemain yang membawa idea bola sepak kami.
"Kami dedikasikan kemenangan ini kepada TMJ atas sokongan dan dorongan yang sering diberikan kepada kami"
Esteban Solari, Pengendali @OfficialJohor#PialaFA2023 #LuaskanKuasamuJohor #MKLK pic.twitter.com/mLuaHbCZZt
— Flash Sukan (@FlashSukan) June 26, 2023
“Mungkin ada yang tidak setuju apabila saya katakan ini perlawanan yang sukar, kerana dalam bola sepak orang hanya melihat pada keputusan tetapi Selangor menekan pemain saya dari pertahanan sehingga ke serangan, ini bukanlah perlawanan yang mudah,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Solari turut memuji dan gembira dengan persembahan penjaring tiga gol, Arif Aiman yang bijak menggunakan ruang yang ada dan bekerja baik dengan dua lagi pemain penyerang yang lain.
“Perlawanan yang sukar sejak awal dan kami layak mendapatkan gol-gol itu kerana dapat lihat ruang yang digunakan Arif. Dia tahu bila dan dimana mahu berlari ke ruang-ruang itu dan bekerja baik dengan Diogo dan Fernando Forestieri dan saya gembira dengan aksi yang ditunjukkan,” tambahnya.
Jurulatih kelahiran Argentina itu turut mendedikasikan kemenangan ini kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dianggap banyak memberi sokongan dan dorongan buat pasukan hingga berada di tahap yang tinggi.