BUAT pertama kali dalam pertandingan anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), pengadil Piala Dunia Kelab Fifa akan menerangkan keputusan VAR kepada peminat di stadium dan penonton TV melalui mikrofon mereka.
Kesahihan maklumat ini dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Fifa, Pierluigi Collina dalam satu temu bual yang disiarkan di laman web Fifa.
“Kami akan mulakan dengan Piala Dunia Kelab dan kemudian kami sudah memikirkan untuk melaksanakannya pada Piala Dunia B-20 di Indonesia.
“Bergantung kepada keputusannya, mungkin ada kemungkinan untuk melakukannya pada Piala Dunia Wanita di Australia dan New Zealand. Tetapi saya fikir adalah lebih baik untuk menunggu dan melihat keputusan dalam pertandingan lain sebelum berkata apa-apa dalam hal itu.
“Kami memutuskan untuk mengadakan percubaan ini kerana kami menerima beberapa permintaan untuk membuat keputusan yang diambil oleh pengadil selepas campur tangan VAR lebih mudah difahami oleh semua pihak yang berkepentingan bola sepak, iaitu penonton di stadium, atau di hadapan televisyen.
“Ini kali pertama kami melakukannya, jadi pastinya ia mungkin tidak sempurna pada awalnya tetapi saya yakin keputusannya akan positif.
“Objektif kami untuk melindungi pengadil, supaya tidak menyukarkan tugas mereka, untuk tidak memberi terlalu banyak tekanan tambahan kepada mereka. Itulah sebabnya hanya apabila keputusan telah diambil barulah komunikasi akan bermula,” kata bekas pengadil final Piala Dunia 2002 itu.
Tambah Collina, ini adalah permulaan percubaan selama 12 bulan, yang akan digunapakai dalam pertandingan antarabangsa.
VAR pertama kali digunakan pada kejohanan antarabangsa senior semasa Piala Dunia lelaki di Rusia pada 2018.