RAKYAT Malaysia sangat menantikan Kejohanan EURO 2024 yang semakin hampir apabila dijadualkan bermula pada 15 Jun ini. Namun, ramai peminat bola sepak yang resah kemungkinan besar tidak dapat menonton perlawanan tersebut kerana tidak mampu melanggan stesen berbayar.

Oleh itu, sebagai badan penyiar rasmi kerajaan nombor satu negara, RTM diharap dapat menyiarkan kejohanan ini secara percuma.

RTM tidak perlu menunggu penaja atau bergantung kepada isu bajet untuk menyiarkan EURO 2024.

RTM mempunyai kapasiti penuh untuk menyiarkan kejohanan ini walaupun tanpa penaja, untuk membeli air time hak penyiaran.

Mereka boleh menggunakan sepenuh kapasiti dari pelbagai kementerian dan pihak kerajaan untuk memastikan siaran percuma direalisasikan.

Dengan mendapatkan dana khas daripada Kementerian Kewangan atau kelulusan khas dana dari Pejabat Perdana Menteri, RTM boleh membeli hak penyiaran EURO 2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil boleh menjayakan hasrat besar peminat Malaysia menonton EURO 2024 secara percuma di RTM.

Rakyat Malaysia boleh menikmati perlawanan-perlawanan hebat tanpa perlu membayar walaupun satu sen.

Jasa baik RTM sebelum ini telah pun menyiarkan kejohanan besar seperti Piala Dunia dan EURO amat dihargai, dan ini harus diteruskan demi manfaat rakyat.

Dengan menyiarkan EURO 2024 secara percuma, RTM dapat memastikan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati perlawanan tanpa beban kewangan tambahan.

Harus diingatkan, peminat bola sepak di Malaysia mempunyai pengikut tersendiri, dan England sering menjadi pasukan kegemaran.

Pasukan popular England miliki pengikut tertinggi di dunia.

Dengan pasukan-pasukan besar seperti England, Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali, Portugal, Croatia, dan Belanda yang bakal bertanding, pasti akan ada tarikan besar untuk menonton perlawanan tersebut.

Ini menjamin rating tinggi untuk mana-mana stesen TV yang menayangkan kejohanan ini dan RTM juga pastinya boleh ‘menjual’ slot slot iklan semasa penyiaran ini kepada syarikat syarikat gergasi.

Justeru itu, penting untuk RTM meneruskan tradisi ini kerana bola sepak adalah sukan yang menyatukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat. Dengan sokongan daripada pihak kerajaan dan dana khas, RTM boleh membawa kegembiraan dan semangat bola sepak kepada semua rakyat Malaysia.

Bersesuaian dengan slogan, “Sukan terbaik, hanya di RTM”.

Kerajaan Madani harus melaksanakan.