KERAJAAN Pahang bersedia menganjurkan kejohanan kanu antarabangsa, Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) yang memasuki edisi kedua tahun ini sebagai acara sukan tahunan di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, penganjuran kejohanan bertaraf dunia itu secara tidak langsung mampu merancakkan aktiviti pelancongan sukan di negeri Pahang.

“Untuk makluman semua, POPIC merupakan sukan pelancongan negeri Pahang, ia sebagai usaha meletakkan Pahang dalam kalendar sukan pelancongan antarabangsa.

“Pihak kerajaan negeri telah meletakkan POPIC signature event negeri Pahang dan bakal dijadikan secara tahunan,” katanya ketika Majlis Pelancaran POPIC 2023 di Villea Rompin Resort & Golf di sini pada Khamis.

Leong Yu Man (tiga, dari kiri) ketika menjawab pertanyaan pemberita ketika majlis perasmian POPIC 23 di Rompin hari ini.

POPIC 2023 yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM117,000 bakal melibatkan tiga peringkat dengan jarak keseluruhan perlumbaan sejauh 48.5 kilometer (km).

Tiga pantai popular di Pahang menjadi lokasi perlumbaan bagi edisi kali ini dengan Rompin bakal membuka tirai pada Jumaat sebelum kejohanan berakhir di Kuantan, Ahad ini.

“Peringkat 1 akan diadakan di Pantai Rantau Panjang, Rompin. Peringkat 2 pula dijadualkan bakal berlangsung di Pantai Lagenda, Pekan, manakala Peringkat 3 diadakan di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan.

“Saya juga difahamkan, acara ini akan disiarkan secara langsung di beberapa platform termasuk YouTube, Facebook, TikTok dan boleh diakses dan ditonton oleh seluruh peminat kanu di seluruh dunia,” ujar Yu Man.

ARTIKEL BERKAITAN : Kejohanan POPIC edisi kedua tawar ganjaran RM117,000

Dengan penyertaan lebih 150 peserta dari dalam dan luar negara, POPIC 2023 mempertandingkan enam kategori – Terbuka Antarabangsa SS1 (lelaki dan wanita); Terbuka Malaysia TK2 (lelaki dan wanita) dan Inter Varsity (lelaki dan wanita).

POPIC 2023 dianjurkan kerajaan negeri Pahang dengan kerjasama Tourism Pahang dan disokong pelbagai agensi kerajaan selain mendapat sokongan penuh Persatuan Kanu Malaysia (Masca) dan Persatuan Kanu Negeri Pahang.