MASALAH dihadapi jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik 2024 turut mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, pihaknya sedia mendengar keluhan bekas juara dunia itu pada bila-bila masa.

Beliau berkata, sebagai atlet bertaraf antarabangsa, Azizulhasni wajar diberi keperluan penyediaan latihan terbaik bagi memastikan buruan pingat emas Olimpik pertama dapat direalisasikan.

“Jika ada sebarang permintaan atau beliau (Azizulhasni) mahu berkongsi masalah itu, kita sedia sama-sama mendengar dan mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Walaupun setakat ini kita belum terima sebarang maklumat dari beliau, ‘pintu’ perbincangan dengan kerajaan negeri atau Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) sentiasa terbuka.

“Ini kerana Azizulhasni membawa imej Malaysia ke pentas tertinggi Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Khamis.

Wan Sukairi ditemui selepas Majlis Apresiasi Atlet Terengganu Sukan 2023 bagi memberi ganjaran kepada wakil negeri itu yang mewakili negara ke Sukan Sea Kemboja.

ARTIKEL BERKAITAN : Tunggu dua minggu lagi, “RTG nak selesaikan isu Jijoe dan atlet lain”

Menurut beliau, 54 atlet dan pegawai dari Terengganu terlibat pada temasya dwitahunan itu dengan 30 daripadanya merupakan penyumbang pingat kepada kontinjen negara.

“Kerajaan negeri mempertuntukkan RM138,000 bagi menghargai kejayaan mereka dan diharap insentif ini menyuntik semangat mereka untuk meraih kejayaan selepas ini,” katanya.