INSENTIF khas menanti Qabil Irfan Azlan selepas pelumba cilik negara itu mengharumkan nama negara muncul juara MiniGP Siri Dunia di Valencia, Sepanyol, minggu lalu.
EXCO Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, berkata, jumlah ganjaran itu akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu majlis khas, minggu depan.
“Pencapaian ini sangat membanggakan dan diharap Qabil Irfan terus cemerlang menempa nama di peringkat dunia sekaligus mengharumkan nama negeri dan negara khususnya.
“Susulan kejayaan bergelar juara dunia di Valencia, kerajaan negeri bersetuju memberi insentif khas berbentuk wang tunai tetapi saya tidak boleh mendahului Menteri Besar,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Beliau ditemui selepas menyambut kepulangan Qabil Irfan bersama bapanya, Azlan Abdul Rahman, 47, bersama lebih 100 ahli keluarga dan penyokong di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, kerajaan negeri merancang untuk membangunkan sebuah litar bertaraf antarabangsa di Kampung Mak Lagam, Kemaman.
Katanya, usaha itu bagi memastikan pelapis dan muka baharu dalam sukan permotoran seperti Qabil Irfan dapat terus dicungkil serta diketengahkan ke perlumbaan peringkat lebih tinggi.
“Kita melawat Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand untuk melihat fasiliti dan reka bentuk litar, perancangan sudah ada namun mengambil sedikit masa lagi ekoran kekangan semasa,” katanya.
Bapa Qabil Irfan, Azlan pula berkata, perjalanan karier anak keduanya itu selepas ini akan diuruskan pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, bagi memastikan Qabil Irfan terus menyinar.
Menurutnya, dia bersyukur Qabil Irfan berjaya mengetepikan cabaran sengit dalam saingan di Valencia dengan tiga perlumbaan dalam cuaca sejuk dan keadaan litar basah selain membaiki pencapaian musim lalu.
“Qabil Irfan hanya meletakkan sasaran mara ke Super Final tetapi selepas menjuarai dua perlumbaan pertama, semangatnya makin berkobar-kobar dan dia berjaya mengekalkan rentak kemenangan,” ujarnya.