KELAB Bola Sepak Kuala Lumpur (KL) City FC berkemungkinan terpaksa ‘tutup kedai’ sekiranya seorang demi seorang pemain meninggalkan pasukan gergasi Lembah Klang itu, kerana isu tunggakan gaji yang masih tidak menemui jalan penyelesaian.

Perkara ini menjadi topik diskusi yang dibicarakan oleh bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad yang kelihatan bimbang akan hala tuju dan masa depan kelab yang pernah berada di bawah naungannya dahulu.

Menurut Khalid, masalah gaji berkenaan bakal menjadi barah yang tidak dapat dibendung lagi dan lebih teruk, KL City mungkin terpaksa kehilangan satu persatu tonggak utama pemain setelah sebelum ini dia kehilangan beberapa nama besar dalam pasukan.

“Situasi ‘bungkus’ ini mungkin berlaku kalau kita tidak tangani perkara ini. Kesian dekat pemain-pemain kerana bermain tanpa gaji. Pemain pun hilang semangat bahkan sebelum ini saya hilang Bojan Hodak (bekas ketua jurulatih), Kevin Mendoza, Romel Morales serta Akram Mahinan (pemain).

Pasukan KL City mungkin akan hilang dari peta Liga Malaysia jika isu gaji masih berlarutan.

“Jika perkara ini berterusan lambat laun KL City tiada pemain. Kalau Paulo Josue (pemain penyerang) dah mula mengeluh apatah lagi yang lain yang masih sedang bersabar,” katanya dalam satu sidang media pada Rabu.

Khalid mengulas perkara demikian sebagai respon kepada Josue yang baru-baru ini kembali bersuara mengenai masalah tunggakan gaji yang mendakwa sudah tujuh bulan tidak menerima gaji.

Terdahulu, FLASH SUKAN melaporkan bahawa Khalid mengakui terdapat campur tangan politik dalam urusan bola sepak KLFA, sekali gus merumitkan situasi kewangan yang melanda kelab tersebut.

Malah, sebagai bekas Presiden KLFA, dia mengharapkan agar para pemain segera mendapat keadilan (pembayaran gaji) yang sudah tertunggak sejak April tahun ini, jika enggan perkara lebih buruk menimpa pasukan Lembah Klang itu.