TERBURU-BURU menjadi antara punca beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kandas di suku akhir Malaysia Masters semalam, sekali gus memanjangkan lagi musim kemarau kejuaraan.
Menurut Wooi Yik, walaupun dia dan Aaron cuba mengawal semula rentak permainan, lawannya itu berjaya mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding mereka berdua.
“Mungkin tak cukup sabar sebab bulu tangkis agak perlahan. Lagi main dengan beregu Indonesia mereka ini mahu curi mata dari set pertama.
“Saya dan Aaron cuba tukar rentak kami tapi kadangkala mereka bermain lebih baik. Jadi kita cuba bertahan dan beri yang terbaik untuk perlawanan ini.
“Kalau ikutkan game ini peluang 50-50 sebab cara permainan kami dan mereka lebih kuramg sama. Cuma mereka lebih bersedia berbanding kami,” katanya.
Sebelum itu, hasrat peminat badminton tanah air untuk melihat pertembungan sesama sendiri beregu lelaki negara di separuh akhir Malaysia Masters 2023 tidak kesampaian apabila Aaron-Wooi Yik tumpas straight set 18-21, 19-21 kepada pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.
Selain Aaron-Wooi Yik, turut terkandas di pusingan suku akhir adalah beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tewas kepada gandingan Korea Selatan Kang Min-hyuk-Seo Seung-jae, 15-21, 21-16, 21-14, dalam tempoh satu jam 20 minit.
“Kami cuba berikan aksi yang terbaik untuk dapatkan mata dan kejar lawan tetapi ia gagal.
“Berkenaan kecederaan Ee Yi, mungkin di bahagian buku lali. Saya perlu lihat kecederaannya itu sama ada serius atau tidak,” kata Yew Sin.