KETUA jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menyatakan bahawa kerisauannya menjadi kenyataan apabila tewas kepada Kuching City FC kelmarin.

Menurutnya, perubahan taktikal yang dilakukan oleh Aidil Sharin Sahak dengan membawa masuk Petrus Shitembi berjaya mengubah perlawanan.

“Kerisauan saya menjadi kenyataan apabila saya melihat Petrus Shitembi masuk, akan ada rombakan permainan dari pasukan Kuching City.

“Walau bagaimanapun, baik untuk kita fokus dalam setiap tindakan kita. Jika dilihat dengan jaringan pertama, kita boleh tidak membenarkannya dengan jaringan,” katanya selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Wan Zack Haikal meletakkan Perak dihadapan melalui penyudahnya pada minit ke-7.

Namun pada babak kedua, Kuching City membawa masuk pemain-pemain baharu dan ternyata membuahkan hasil apabila pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak bangkit dengan dua jaringan menerusi Jordan Mintah dan Tchetche Kipre.

Kekalahan Perak itu juga menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif interim pasukan itu, Bobie Farid Shamsudin meletakkan jawatannya selepas prestasi buruk yang dialami oleh pasukan itu.