PENAMPILAN sulung pasukan JDT Racing Team di Kejuaraan World Superbike WSBK menerusi tiket wildcard di Grand Prix Portugal hujung minggu ini sudah pasti menarik minat semua peminat sukan permotoran tempatan.

JDT Racing Team yang dalam tahun pertama mereka di Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) sudah berjaya membuka mata pasukan-pasukan utama dunia untuk menjalin kerjasama sekali gus membuktikan kekuatan jenama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Prinsipal pasukan, Steven Tan menjelaskan dia bangga dengan kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh Ducati Malaysia dan Asia yang banyak membantu pasukannya meningkatkan prestasi dalam memastikan pelumbanya, Hafizh Syahrin Abdullah mendapat jentera terbaik ketika berlumba.

Hafizh dan Steven sudah tiba di Portimao untuk perlumbaan WSBK Portugal

“Ducati Malaysia kini adalah salah satu penyokong kuat pasukan dan sangat memberikan sokongan dengan menaja barangan cenderahati kami serta bekerja sama rapat menerusi wakil mereka di Malaysia dan Indonesia.

“Malah, Ketua Pengarah Pemasaran Ducati Asia, Siddharta Varma dan Ketua Pegawai Operasi mereka di Malaysia, Dennis Michael sentiasa berhubung dengan kami secara terus sepanjang dua bulan ini dan ianya membantu persembahan kami di litar dengan bantuan terus ini.

“Ducati Asia dan Malaysia masing-masing mempercayai usaha yang dilakukan Pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail dan ini memberikan kami kebanggaan untuk membangunkan lagi pasukan ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Penglibatan JDT Racing Team di Litar Portimao juga akan dibantu Ducati Factory dengan Hafizh Syahrin akan berlumba dengan jentera yang mempunyai spesifikasi sama seperti jentera milik penyandang juara dunia, Alvaro Bautista dan ini jelas satu petanda positif buat pasukan baharu ini.

JDT akan berlumba menggunakan jentera Ducati Panigale V4R dengan liveries JDT dan Hafizh yang semakin serasi dengan jentera itu sudah tidak sabar untuk bersaing dengan pelumba-pelumba handalan dunia di WSBK.