PENGENALAN Duta Boling KLGCC bakal memberikan manfaat besar kepada pembangunan sukan boling di negara ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli berkata demikian dalam majlis Menandatangani Kerjasama antara ESM Internationale Sdn Bhd (ESM) dab Co-opbank Pertama (CBP) di Kuala Lumpur Golf dan Country Golf (KLGCC) pada Khamis.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada dua pemain boling negara, Siti Safiyyah dan Natasha Roslan kerana telah diberikan kepercayaan untuk menerima penghargaan ini.

“Saya amat yakin apa yang dikecapi pada hari ini bakal memberikan nilai tambah terhadap kelangsungan kerjaya mereka sebagai atlet boling profesional,” kata Adam kepada media.

Jelasnya lagi, pelantikan tersebut menjadi satu langkah yang amat penting untuk ke hadapan dalam memperkukuhkan lagi industri sukan negara selari dengan hasrat KBS untuk melihat lebih ramai pihak korporat tampil membantu meningkatkan mutu sukan negara.

Safiyyah dan Natasha yang dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik Wanita Tenpin Boling dalam Anugerah Sukan Selangor baru-baru ini sekaligus menjadi tarikan utama kepada pihak CoopBank dan KLGCC untuk menjadi penaja mereka kerana prestasi yang baik.

Dalam masa yang sama, Adam juga menghargai usaha pihak korporat yang memilih atlet negara untuk ditaja dimana ianya lari daripada kebiasaan pihak korporat yang cenderung memilih golongan selebriti berdasarkan faktor kepada pengaruh yang luas.

“Namun begitu, inisiatif pihak CoopBank dan KLGCC untuk meneroka ruang pemasaran jenama sendiri melalui penajaan terhadap atlet dan lapangan sukan merupakan satu penghargaan besar.

“Ia bukan sahaja memberikan manfaat terhadap jenama tetapi turut menyumbang kepada peningkatan prestasi atlet yang seterusnya meletakkan keutamaan untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia,” ujar Adam.

Adam menambah, penglibatan aktif firma sukan seperti ESM Internationale adalah penting dalam menjadi pemangkin ekosistem yang lebih baik untuk industri sukan negara melalui kepakaran yang ada.

Seperti yang dilakukan pihak ESM yang membantu memaksimumkan potensi atlet melalui keupayaan meningkatkan daya tarikan penajaan terhadap atlet di samping bertindak dalam memastikan aspek pengurusan kerjaya atlet berada dilandasan yang tepat.

“KBS sentiasa peka terhadap aspek pembangunan atlet dan memberikan keutamaan untuk mencungkil bakat baharu dan memberikan pendedahan lebih besar kepada atlet berpotensi.

“Sinergi antara kerajaan dan pihak korporat menjadi sangat penting untuk memastikan Malaysia sentiasa berada di hadapan dalam arena sukan dan mempunyai program pengurusan bakat yang bernilai tinggi,” ujar Adam lagi.

Melalui kerjasama yang terjalin, Adam mengharapkan ianya menjadi contoh dan mampu menarik penyertaan lebih banyak pihak korporat untuk turut menglibatkan diri dalam pembangunan sukan negara.