KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif yakin penglibatan Petronas sebagai penaja utama MotoGP Grand Prix Malaysia akan membantu meningkatkan jualan tiket perlumbaan itu.

Sebelum ini Azhan memberitahu media bahawa jualan tiket Grand Prix Malaysia itu agak perlahan dengan tidak sampai 50 peratus terjual dua bulan menjelang kembalinya perlumbaan berprestij itu di Malaysia.

Dia menyatakan dua sebab utama yang menjejaskan jualan tiket adalah ketiadaan pelumba tempatan dalam semua kelas perlumbaan selain harga tiket yang lebih tinggi berbanding ketika musim 2019.

Azhan Shafriman Hanif.

Namun kini dia kembali yakin jualan tiket akan meningkat selepas mengumumkan Petronas sebagai penaja utama dan kekuatan jenama Petronas selain pelan interaktif syarikat gergasi petroleum tempatan itu bersama peminat.

“Ianya adalah hari yang cukup emosi bagi saya kerana perlumbaan MotoGP kembali ke Malaysia selepas dua tahun dibatalkan. Tahun ini dengan kerjasama daripada Petronas kami akan sama-sama membawa acara ini ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pihak kami juga perlu bekerja lebih keras untuk mencapai sasaran peminat yang hadir ke litar. Kami sedikit ketinggalan dari segi perancangan tetapi dengan penglibatan Petronas, kami yakin kami mampu untuk menyamai rekod 170,000 penonton yang hadir pada 2019.

“Selain itu kehadiran Sharifuddin Azman atau Damok sebagai pelumba wildcard negara dalam kategori Moto3 pastinya akan membantu penjualan tiket,” katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran Grand Prix Malaysia Petronas 2022 di ibu negara pada Selasa.

Turut melaungkan keyakinan yang sama adalah Pengurus Besar Kanan Petronas, Datin Anita Azrina Abdul Aziz yang mahukan sokongan dari seluruh rakyat Malaysia untuk menjayakan perlumbaan ini.

 Anita Azrina Abdul Aziz

“Bagi Petronas, ianya adalah satu penghormatan untuk menjadi penaja utama. Jika sebelum ini kami menjadi penaja untuk sukan Formula Satu kini kami kembali ke SIC sebagai penaja rasmi MotoGP.

“Kali ini kami mahukan sokongan dan galakan daripada rakyat Malaysia dan peminat sukan permotoran untuk menyokong usaha kami ini,” ujarnya yang turut teruja dengan kembalinya Petronas ke Litar Antarabangsa Sepang.

Perlumbaan Grand Prix Malaysia Petronas akan berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober dimana ianya akan menjadi persinggahan kedua terakhir kalendar musim ini dengan kemungkinan untuk menabalkan juara dunia setiap kategori yang dipertandingkan.