KEPUTUSAN Kabinet tidak membenarkan anggota pentadbiran bertanding dalam mana-mana persatuan sukan mendapat perhatian daripada salah seorang pemimpin sukan negara.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin bersetuju dengan keputusan yang diambil oleh Kabinet itu memandangkan tugasan sebagai presiden sesebuah kelab bukanlah sekadar ‘pemerhati’ dan untuk nama semata-mata.
“Alhamdullilah ia keputusan yang wajar memandangkan anggota kabinet memerlukan fokus terhadap tugas-tugas lebih penting.
“Kedua-dua Menteri itu perlu mengundurkan diri dan akur dengan keputusan Kabinet.
“Jika diberi peluang saya ingin bertanding untuk kerusi presiden tetapi buat masa sekarang hingga 11 Sptember saya berada Paris (Sukan paralimpik).
View this post on Instagram
“Sekiranya tarikh Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang dijangka berlangsung 7 September ini ditangguhkan atau diubah, saya bersedia untuk bertanding,” jelasnya, kepada FLASH SUKAN di Paris.
Menurut Megat, tidak salah jika lebih ramai yang berkelayakan untuk bertanding jawatan presiden ini kerana ia satu peluang yang tepat untuk penambahbaikan kepada KLFA.
“Lebih ramai calon ia akan menarik perhatian ahli gabungan untuk memilih yang terbaik. Suara ahli gabungan memang penting tetapi kesepakatan adalah lebih penting daripada segalanya.
“Sekiranya ada ahli gabungan yang tidak dapat membantu atau memberi penambahbaikan kepada KLFA atau kelab, seeloknya berundur diri dan beri ruang kepada kepimpinan baharu yang mempunyai rekod baik dan mampu menyelesaikan masalah-masalah yang sedia ada.
“Lebih penting boleh membawa dana ke dalam persatuan.
“Pada pandangan saya lebih ramai yang bertanding lebih baik,” tambahnya.
Pada Rabu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan dia tidak akan bertanding merebut jawatan Presiden KLFA dalam majlis pemilihan persatuan itu pada 7 September 2024.
Ini beriutan selepas barisan kabinet membuat keputusan agar tidak ada anggota pentadbiran yang memegang apa-apa jawatan dalam persatuan sukan selepas mesyuarat Kabinet berlangsung.
Keputusan tersebut menyaksikan seorang lagi ahli politik Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang mengumumkan untuk bertanding juga perlu mengundur diri.