KERJA-KERJA perobohan Stadium Shah Alam bagi pembinaan dan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam yang baharu telah bermula pada 1 Julai 2024 sekali gus menyaksikan stadium ikonik negara itu bakal menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.
Stadium dengan kapasiti 80,000 tempat duduk itu menyimpan pelbagai sejarah dan kenangan terutama buat pasukan Selangor yang menjadikan stadium itu sebagai venue tuan rumah sejak ianya siap dibina pada 1994.
Sebagai tanda kenang-kenangan, kerusi stadium itu akan diberikan secara percuma kepada stadium-stadium yang berada di daerah seluruh Selangor manakala kerusi yang sudah tidak boleh dipakai akan dilupuskan.
Perkara ini dijelaskan sendiri oleh Ketua Tanggungjawab Sosial dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Incorporated), Ahmad Azri Zainal Nor yang menyatakan pihaknya akan mengambil tanggunggjawab untuk mengagihkan kerusi-kerusi itu.
“Kesemua kerusi ini akan di ‘dismantle’ dan diasingkan. Mana yang rosak, akan dilupuskan manakala yang elok akan disimpan di dalam tempat simpanan.
“Kerusi-kerusi yang elok ini akan ditawarkan secara percuma kepada PBT dan Pejabat Daerah sekiranya mahu dipasang di stadium-stadium daerah atau di astaka-astaka di padang daerah.
“Saya juga akan mencadangkan untuk kerusi-kerusi ini turut ditawarkan kepada sekolah-sekolah di Selangor yang mempunyai astaka untuk dipasang di situ,” kongsinya menerusi platform media sosial peribadinya.
Perkara ini bukanlah baharu di Malaysia di mana sebelum ini, kerusi-kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil juga telah diedarkan ke pelbagai stadium dan astaka di seluruh negara selepas stadium itu dinaik taraf untuk menganjurkan Sukan Sea 2017.
Kerja-kerja perobohan stadium itu dijangka berakhir pada 2026 sebelum sebuah kompleks sukan baharu akan dibangunkan dengan stadium utama berkapsiti 45,000 tempat duduk dan stadium tertutup serba baharu dan canggih.