PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berasa risau dan terganggu dengan dua insiden serangan yang melibatkan dua pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid dan Faisal Halim.

Dalam dua kejadian berasingan, pemain sayap Terengganu, Akhyar Rashid telah disamun di kawasan kediamannya minggu lalu sebelum pemain Selangor FC, Faisal Halim pula diserang asid di sebuah pusat beli belah di ibu kota sekaligus menimbulkan kebimbangan kepada penyokong bola sepak tempatan.

Menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi miliknya, Tunku Ismail juga mahu pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini sepenuhnya dan mengheret pesalah ke muka pengadilan.

“Saya mengecam kejadian yang melibatkan pemain bola sepak, Faisal Halim dan Akhyar Rashid susulan keselamatan serta kesejahteraan mereka diganggu oleh individu-individu tidak bertanggungjawab.

“Saya berharap agar Polis DiRaja Malaysia menyiasat segera secara menyeluruh tentang kejadian tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” tulis kenyataan itu.

Pemangku Sultan Johor adalah antara individu yang sering menitikberatkan kesejahteraan para pemain dalam Liga Malaysia dan sering membantu mereka yang memerlukan.

Sebagai rekod, pada Khamis malam lalu, Akhyar mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki selepas diserang oleh dua lelaki di kawasan tempat tinggalnya, manakala hari ini Faisal pula disimbah asid ketika keluar bersama keluarganya di sebuah pusat membeli belah Kota Damansara.