PENGARAH Kejurulatihan (Perseorangan) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menjelaskan keputusan melepaskan Myisha Mohd Khairul adalah merupakan keputusan yang dibuat secara sebulat suara pihak pengurusan setelah meneliti segala aspek yang perlu diambil kira bergelar pemain badminton.
“Untuk kes Myisha, memang ia adalah tentang masa. Kita telah membuat penilaian dan proses dan memberi keputusan melepaskan pemain secara bersemuka.
“Ia dilakukan setelah meneliti segala aspek secara menyeluruh, bukan hanya membuang dari SMS. Rata-rata pemain kita faham dan tidak timbul sebarang ketidakpuasan hati.
“Peluang yang diberikan kadangkala ada masanya dan apabila kita tahu kita tidak boleh meneruskan lagi dengan pemain yang ada, kita terpaksa melepaskannya,” ujarnya dalam sidang media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Susulan prestasi kurang memberangsangkan Myisha sebelum ini, komen berbaur cacian dan makian dari netizen di media sosial terpaksa diterima pemain perseorangan wanita kebangsaan itu.
Choong Hann juga menyeru kepada semua rakyat Malaysia termasuk ‘keyboard warriors‘ agar berfikir terlebih dahulu sebelum menghamburkan sebarang kata-kata yang boleh ‘membunuh’ jiwa atlet di laman sesawang masing -masing.
“Untuk berlaku adil kepada netizen, saya rasa ia tidak tepat untuk mengatakan dia dibuang kerana cyber bully.
“Mereka memarahi tanpa melihat apa yang sedang berlaku kepada pemain ini.
“Anda sedang memarahi seorang pemain yang pemain yang emosinya terganggu kerana dia tidak dapat meneruskan perjalanannya dalam BAM.
“Saya menyeru kepada semua netizen dan pengguna sosial media agar berfikir dahulu sebelum melemparkan sebarang komen,” katanya.
Pun begitu, kawalan penuh tidak boleh dilakukan untuk menyekat kebebasan bersuara mana-mana individu yang menjalani kehidupan di negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen.
Justeru, ia merupakan proses untuk seseorang pemain menjadi semakin matang apabila menangani komen-komen negatif dengan cara lebih tenang sebagai seorang manusia dan pemain profesional.
“Zaman sekarang memang senang pemain dicaci atau istilah lain adalah cyber bully. Kita selalu memberi nasihat kepada pemain bagaimana hendak menangani situasi tersebut.
“Hakikatnya, kita tidak boleh mengawal apa yang dikeluarkan melalui akaun atau sosial media mereka.
“Untuk pemain umur 19 tahun, 20 tahun, kadangkala ia memberi kesan kepada mereka. Bagaimanapun ia adalah proses bagi mereka untuk menjadi matang sebagai pemain dan manusia,” jelasnya.