PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia boleh memberikan fokus sepenuhnya kepada saingan Kejohanan Berpasukan Badminton Asia (BATC), selepas kes dengan bekas jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya diselesaikan di luar mahkamah.

Pertikaian undang-undang antara pemain nombor 10 dunia dan jurulatih itu, tidak akan diteruskan selepas kedua-dua pihak mencapai kata sepakat menyelesaikan kes mereka di luar mahkamah.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan daripada pihak peguam Indra, mengesahkan persefahaman bersama dicapai melalui surat-menyurat antara peguam kedua-dua pihak.

Kenyataan media dikeluarkan peguam Indra Wijaya.

Surat berkenaan bertarikh 6 Februari oleh Tetuan Law Partnership (bertindak bagi pihak LZJ Management Sdn Bhd) dan 14 Feb oleh Tetuan Wan Ahmad Ridzuan & Co (bertindak bagi pihak Indra Wijaya).

“Berhubung tuntutan yang difailkan Indra terhadap LZJ Management Sdn Bhd (Pengurusan LZJ), dengan suka cita kami memaklumkan bahawa mereka bersetuju untuk menyelesaikan di luar Mahkamah secara baik.

“Perpisahan antara LZJ Management dan Indra berlaku semata-mata atas pertimbangan oleh pasukan LZJ mengenai falsafah, kaedah kejurulatihan dan latihan LZJ.

Lee Zii Jia boleh fokus kepada perburuan tempat ke Olimpik Paris, 2024.

“Perpisahan antara LZJ Management dan Indra tidak mempunyai kaitan dengan kaedah kejurulatihan dan prestasi Indra di bawah kontrak pekerjaan.

“Kami berharap tidak akan timbul sebarang spekulasi mahupun andaian berhubung perkara ini dan mereka mengucapkan selamat maju jaya terhadap karier profesional masing-masing,” jelas satu kenyataan media oleh pihak Indra.

Mac tahun lalu, pertelagahan antara kedua-dua pihak tidak menemui jalan penyelesaian dicapai dengan Indra memutuskan untuk membawa kes ke Mahkamah Perusahaan.