PERSATUAN Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United FC mengenai isu tunggakan gaji pemain yang pada ketika ini sudah memasuki empat bulan.

Pada 14 Jun yang lepas, pihak PFAM telah mula mengeluarkan notis kepada Sarawak United FC untuk tuntutan tunggakan kepada pemain yang telah melakukan aduan.

“Walaupun telah menerima respon balas daripada pihak kelab untuk melunaskan tunggakan gaji, namun sehingga kini, tunggakan tersebut masih belum dijelaskan sepenuhnya.

“Lebih mendukacitakan, pada bulan Jun yang lepas, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis untuk mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan oleh pihak kelab,” kata kenyataan PFAM itu pada Rabu.

Katanya lagi, susulan turut diberikan kepada Sarawak United FC pada 8 Julai yang lepas.

Jelas PFAM, pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus sepenuhnya dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelakkan hukuman yang berat dikenakan terhadap pasukan.

“PFAM memandang serius tentang isu tunggakan gaji pemain dan akan membawa perkara ini ke peringkat NDRC (Majlis Penyelesaian Resolusi Kebangsaan) dalam masa yang terdekat,” katanya.