KESATUAN Ragbi Sabah mengambil langkah berani dan mahu Kementerian Belia dan Sukan menerusi menterinya, Hannah Yeoh campur tangan berkaitan skandal kewangan yang melanda Ragbi Malaysia sejak 2022.

Ini selepas mereka meneliti laporan audit yang menunjukkan kehilangan wang lebih RM4 juta dari akaun Ragbi Malaysia dan mengambil keputusan untuk keluar dari kesatuan dan tidak mengiktiraf Mesyuarat Agong Luar Biasa (AGM) badan tertinggi sukan ragbi negara itu.

Setiausaha Kesatuan Ragbi Sabah, Ramesh Lachmanan berkata pihak mereka berpegang kepada integriti dan tidak mahu menyokong perkara ini dan sudah meminta surat penjelasan sejak pertengahan tahun 2023 namun masih tidak mendapat sebarang maklum balas.

“Kami tidak boleh duduk dalam Persatuan ini dengan mengetahui banyak perkara yang tidak betul berlaku. Kerana dalam piagam ragbi, ianya dibentuk berdasarkan integriti dan pentadbiran yang baik.

“Oleh itu, kami akan duduk bersama-sama YB Hannah dan melihat kepada perkara ini untuk membetulkan keadaan kerana jika Ragbi Malaysia digantung, para pemain yang akan mengalami masalah dan kami tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya dalam satu sidang media di ibu negara.

Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Sukan namun sehingga kini mereka masih tidak mendapat maklum balas seperti yang diharapkan dan mengambil keputusan untuk keluar dari naungan Ragbi Malaysia.

Ragbi Sabah juga sudah membuat keputusan untuk tidak menyertai sebarang kejohanan dibawah Ragbi Malaysia seperti Piala Agong dan Kejohanan Tujuh Sebelah Kebangsaan sebagai tanda boikot demi integriti dan pentadbiran yang baik.

Namun begitu, Kesatuan Ragbi Sabah tetap akan menganjurkan Kejohanan Borneo Sevens sebagai pendedahan buat bakat-bakat tempatan dan sebagai salah satu produk pelancongan sukan negeri Sabah.