PEMAIN tengah Terengganu FC, Manuel Gelito Ott atau lebih gemar disapa sebagai Manuel Ott mendedahkan bahawa para pemain semakin mempamerkan motivasi terbaik untuk meletakkan Terengganu FC ke arah lebih cemerlang dalam arena sukan bola sepak.

Lebih-lebih lagi, keserasian antara pemain telah menjadi simbolik kekuatan skuad Sang Penyu, sekali gus memacu mereka untuk meraih keputusan 3-2 pada saingan separuh akhir pertama Piala FA 2024 menentang Selangor FC.

Tidak kurang lagi dengan prestasi cemerlang oleh skuad kendalian Tomislav Steinbruckner, Terengganu FC kini berada di tangga ketiga Liga Super selepas berjaya mengumpul lapan mata daripada keseluruhan empat perlawanan yang telah dilalui.

Terengganu FC akan ke separuh akhir kedua Piala FA 2024.

“Saya rasa semua (pemain) sudah mula mendapat keserasian antara satu sama lain, kita juga tahu ramai pemain baharu yang masuk musim ini jadi permulaannya kita perlu saling mendekati dan itu satu tindakan sewajarnya daripada pemain.

“Jadi, ini merupakan satu faktor dimana menjadikan prestasi Terengganu FC lebih baik dari semasa ke semasa, dan saya percay kita berada di landasan terbaik ketika ini.

“Walau bagaimanapun, kita masih mempunyai banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi dan kita tidak akan menyerah kalah,” ujar Manuel ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Manuel Ott bersama Terengganu FC pada musim 2024-2025.

Dalam masa yang sama, tonggak import Terengganu FC itu turut menegaskan bahawa kehadirannya ke pasukan tersebut adalah sesuatu perkara berharga dan dia akan beri lebih daripada 100 peratus komitmen kepada Sang Penyu.

“Apa sahaja yang pasukan mahukan daripada saya, saya akan berikan dan sudah tentu lebih daripada apa yang saya sepatutnya bagi. Pada hujungnya, saya masih mengumpul sebanyak mana minit perlawanan yang boleh walau dimana mereka letak posisi saya,” tambahnya.

Manuel yang sebelumnya berkhidmat buat Kedah Darul Aman (KDA FC) telah kembali bersama dengan skuad Terengganu FC pada awal musim ini (2024-2025), setelah dirinya juga pernah berada di Terengganu pada tahun 2022.