“JIKA KL City FC tiada, Romel Morales dan Paulo Josue juga tiada. Gol ketiga bersama Korea Selatan juga tiada.”
Berikut merupakan kenyataan yang ringkas dan padat daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad susulan beberapa cemuhan dilemparkan ke kelab bola sepak tersebut akibat isu tunggakan gaji yang masih membelenggu mereka.
Menurut Khalid, meskipun mereka dalam fasa kesesakan ekonomi kewangan, namun mereka mampu untuk menggilap bakat dan corak permainan tonggak utama mereka seperti Romel Morales dan Paulo Josue.
“FAM diberi RM5 juta dan semua bergembira tentang hal sedemikian, tetapi kami (KL City) yang menanggung atau membiayai Romel dan Paulo, hari demi hari sehingga sekarang.
“Jika KL City tiada, Romel Morales dan Paulo Josue juga tiada. Gol ketiga bersama Korea Selatan dalam Piala Asia lalu juga tiada,” ujarnya dalam sesi sidang media pada Jumaat.
Sementara itu, kemenangan KL City terhadap Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 turut diperkatakan olehnya bagi memperingatkan semula sejarah pasukan The City Boys itu.
“Kita merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya kalahkan JDT pada tahun 2021, iaitu final Piala Malaysia ke-100. Bajet ketika itu hanya RM12 juta namun kita boleh lakukan,” ulasnya lagi.
Pihak KLFA kini sedang mempergiat usaha untuk mencari wang bernilai RM2 juta bagi melunaskan hutang pembayaran gaji pemain dan barisan pengurusan yang terbabit.
Artikel Berkaitan: Tunggakan hutang sekitar RM2 juta, KL City enggan ‘potong’ perbelanjaan kelab