📷 Johor Southern Tigers

HASRAT Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mara lebih jauh dalam kempen Liga Juara-Juara AFC 2022 tidak tercapai apabila disekat Urawa Red Diamonds dalam aksi peringkat 16 terbaik di Stadium Saitama, Jepun.

Tiga kesilapan mudah individu menyebabkan JDT tewas 5-0 sekaligus tersingkir dari saingan namun tetap mencipta sejarah baharu buat juara Liga Super lapan kali itu.

Kesilapan Farizal Marlias, Matt Davies dan Shahrul Saad yang kelihatan gugup ketika beraksi cukup untuk memberikan juara musim 2017 dan 2019 itu mendahului 3-0 pada babak pertama.

 

 

Ketiadaan Leandro Velasquez dibahagian tengah dilihat memberi kesan kepada serangan JDT dengan Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva kelihatan hilang dalam perlawanan kerana kurang mendapat hantaran.

Kemasukan Afiq Fazail pada babak kedua dilihat berjaya mengembalikan kestabilan dalam permainan JDT dengan lebih banyak percubaan dapat dicipta barisan serangan.

Ketika JDT ghairah menyerang, Urawa Reds menambah jaringan keempat dan kelima pada akhir-akhir permainan untuk memadam semangat melawan yang cuba ditunjukkan oleh Harimau Selatan dan akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan ini.

Namun begitu dari sudut positif, JDT berjaya membuka mata pasukan-pasukan Asia dengan pencapaian yang boleh dibanggakan terutama ketika peringkat kumpulan hingga membantu menaikkan ranking MA Malaysia di Asia.

Dengan kemenangan ini, Urawa Reds melangkah ke peringkat suku akhir dan akan menunggu siapakah lawan mereka sama ada Jeonbuk Hyundai Motors, Vissel Kobe atau BG Pathum Thani yang bakal ditentukan menerusi undian esok.