HAJAT PDRM FC untuk menamatkan empat kekalahan berturut-turut dalam Liga Super tidak kesampaian apabila kesilapan individu sekali lagi menjadi punca kekalahan kali ini kepada Negeri Sembilan FC 1-2 dalam aksi di Stadium MBPJ Kelana Jaya pada Khamis.

Pengendali Sang Saka Biru, Azzmi Aziz jelas kecewa apabila pasukannya melepaskan gol pada tambahan masa babak kedua meskipun sudah berjaya menyamakan kedudukan pada minit akhir perlawanan namun masih belum cukup untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Namun dia masih positif dengan pasukannya kerana jarak yang masih tidak jauh dengan pasukan di tangga lebih atas dan mahu sesuatu dilakukan terutama dalam memastikan mereka berjaya menyempurnakan peluang yang dicipta.

“Sebelum gol kedua itu, kekasaran itu dah mengecewakan kerana ianya tidak perlu berlaku. Saya dah pesan pada pemain supaya tidak lakukan kesilapan sama. Pemain perlu lebih belajar kerana perlu diakui kualiti dalam pasukan ini masih kurang.

“Kami bermain lebih baik berbanding ketika bertemu KL City sebelum ini kerana kami mampu menyaingi pasukan Negeri Sembilan tetapi masih gagal sempurnakan peluang walaupun dalam keadaan satu lawan satu. Saya masih positif tetapi kesilapan sama masih berulang namun kredit pada pemain kerana mereka telah mencuba sebaik mungkin.

“Tidak banyak isu sebab berdasarkan carta jurang itu tidak banyak namun kami kena realistik. Kalah lima perlawanan berturut-turut perlukan satu ‘comeback’ yang sukar dan menyusahkan pasukan. Kami perlu lebih baik dalam perlawanan selepas ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Ditanya sama ada dia berpuas hati dengan barisan serangannya, Azzmi tanpa berselindung mengakui tidak berpuas hati dan mahukan sesuatu dilakukan di bahagian serangan kerana mereka masih tidak tajam dihadapan gawang.

“Daripada awal sampai sekarang penyerang masih berada pada tahap tidak baik. Kami hanya berjaya jaringkan lapan gol sahaja dari 11 perlawanan. Ini sangat sukar dan harap pihak pengurusan bawa masuk penyerang baharu. Kami ketandusan penyerang kerana gagal menyempurnakan peluang walaupun bermain baik untuk dapat peluang namun masih belum tajam depan gawang,” tambahnya.

Kekalahan kelima berturut-turut ini menyaksikan PDRM FC kekal di tangga kesepuluh dengan 10 mata dan Azzmi mahu keputusan yang postitif dapat dibawa pulang dari Kota Bharu apabila bertemu Kelantan pada perlawanan LS12.