PENOLONG ketua jurulatih Kuching City FC, Sulaiman Hussin berpendapat pasukannya beraksi dengan baik secara keseluruhan meskipun tewas kepada Penang FC 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis.

Namun begitu dia menasihatkan para pemainnya untuk mengelak dari melakukan kesilapan individu jika mahu terus bersaing dan mencapai kemenangan dalam baki perlawanan selepas ini.

Ini selepas kesilapan individu melibatkan penjaga gol mereka, Norazlan Razali yang gagal menangkap kemas bola hingga menyebabkan Penang FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit terakhir babak pertama sekali gus menaikkan semangat skuad Harimau Kumbang untuk meraih kemenangan.

“Pada saya di separuh masa pertama kami bermain baik tetapi kesilapan penjaga gol memberi peluang buat Penang FC untuk bangkit. Dalam keadaan kami pelukan kemenangan kesilapan begitu perlu dielakkan. Secara keseluruhan persembahan yang ditampilkan sangat baik tetapi tidak cukup untuk berikan tiga mata.

“Kita juga perlu menghadapi kehidupan dalam Liga Super dan kami sudah bersedia dengan keadaan ini dengan memberikan semangat kepada pemain dan sentiasa postitif kerana perlawanan masih banyak. Musim pertama di Liga Super ini, banyak perkara mereka belajar dan yakin keputusan yang baik akan muncul dalam masa terdekat.

“Meskipun Norazlan melakukan kesilapan dengan keputusan permainan yang tidak baik, namun saya gembira kerana para pemain tunjukkan sikap ingin menang dan tidak mengalah. Pemain inginkan kemenangan dan perlu lebih sabar,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Sulaiman Hussin

Sulaiman turut mengakui skuad Kuching City FC mempunyai masalah ketumpulan di bahagian hadapan sejak dari awal musim dan walaupun perubahan taktikal dilihat banyak berlaku perubahan namun pasukan ini tetap buntu dibahagian ‘attacking third‘.

Kekalahan ini menyaksikan Kuching City FC tewas buat kali kesembilan dalam Liga Super dan kini akan mengambil kesempatan rehat dua minggu untuk membentuk semula pasukan sebelum bertemu Johor Darul Ta’zim pada 19 Mei 2023.