KEGAGALAN Kedah Darul Aman FC (KDA) mencatat keputusan positif ketika kembali ke Stadium Darul Aman nyata menimbulkan reaksi kurang senang daripada pelbagai pihak dan pengendali KDA, Aidil Sharin Sahak nyata tidak berselindung dengan apa yang berlaku.

Menerusi sidang media selepas perlawanan, Aidil Sharin berterus terang mengakui bahawa kesilapan individu menjadi punca kekalahan KDA dalam perlawanan ini.

Aidil juga mengakui bahawa para pemain beliau dilihat masih tidak belajar dengan kesilapan yang dilakukan pada perlawanan sebelum ini dan masih mengulangi perkara yang sama sekaligus membantu Melaka United membawa pulang tiga mata.

Dengan nada kesal, Aidil meminta maaf kepada para penyokong kerana menghampakan mereka yang hadir ke stadium meskipun dalam keadaan cuaca hujan.

“Saya melihat kekalahan pada malam ini lebih daripada kesilapan individu sehingga memberi ruang buat lawan menguasai. Pemain masih lagi tidak belajar daripada kesilapan lalu dan masih mengulanginya. Ianya cukup mengecewakan saya.

“Saya ingin meminta maaf kepada para penyokong yang hadir pada malam ini kerana kami gagal memberikan keputusan seperti yang anda inginkan. Saya tidak akan meletakkan kesalahan kepada individu dan saya sebagai jurulatih akan mengambil tanggungjawab penuh,” jelas Aidil.

Jurulatih Singapura ini juga menyatakan bahawa akan ada perubahan berlaku ketika jendela perpindahan kedua nanti kerana KDA tidak mampu untuk beraksi baik dengan keadaan skuad yang tidak cukup dan cergas.

Aidil juga kelihatan berang apabila ditanya adakah beliau masih bereksperimen terutama dengan posisi Marc Vales dan menyatakan bahawa mereka turun untuk menang setiap perlawanan.

“Pastinya akan ada perubahan ketika jendela perpindahan kedua nanti. Apa yang pasti, kami tidak mampu untuk bermain tanpa kehadiran pemain import yang mencukupi dan pastinya saya akan berbincang dengan pihak pengurusan dan akan membiarkan mereka untuk melakukan sebarang pengumuman mengenai hal ini.

“Apa yang membuatkan kamu rasa saya sedang membuat eksperimen? Adakah kamu rasa kami tidak mahu menang setiap perlawanan dan hanya sekadar mahu bereksperimen ?, ” tegas beliau sebelum mengakhiri sidang media.

Kekalahan ketiga dari tujuh perlawanan ini jelas meresahkan penyokong skuad Kenari dan kini KDA berada di tangga keempat liga kekal dengan 12 mata dan kini akan berhadapan PJ City di Petaling Jaya pada Rabu.