PENGENDALI Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak mengakui bahawa kesilapan barisan pertahanannya menjadi faktor utama kekalahan mereka kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Ahad.
Perlawanan yang tertangguh pada minit ke-28 akibat hujan itu meyaksikan dua gol jaringan Zaquan Adha dan Safuwan Baharudin sudah cukup untuk menamatkan rentetan empat kemenangan berturut-turut KL City.
Meskipun tewas, Bojan gembira dengan kejayaan Zhafri Yahya kembali menjaringkan gol dan kembalinya dua pemain penyerang dari Sukan SEA yang bakal menambah sengat serangan KL City.
We move on 🔴⚪️#KLCityFC #ColouringTheCity #SampaiMatiKualaLumpur pic.twitter.com/2WW4HJ6Pxm
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) May 14, 2023
“Selepas rehat yang panjang biasanya keadaan tidak berapa bagus dan ianya berlaku kepada kami. Sepatutnya ianya lebih baik, namun perlawanan ini tidak banyak peluang yang terhasil dan mereka jaringkan dua gol yang pada saya ianya hasil kesilapan pertahanan terutamanya gol kedua.
“Kami juga mempunyai beberapa peluang tetapi kami gagal jaringkan gol dan ianya membawa perbezaan dalam bola sepak dan seperti yang saya katakan, kesilapan kecil yang tidak sepatutnya berlaku dalam bertahan dan ini mengubah keputusan perlawanan.
“Kebanyakan perkara diikuti oleh pemain namun ada beberapa perkara teknikal apabila menerima dan menghantar bola. Ini sesuatu yang tidak baik namun ianya bertambah baik apabila kami menukar taktikal kepada 3-5-2 dan kelihatan bahaya pada 10-15 minit terakhir tetapi akibat perlawanan ini lebih pendek dari biasa, saya tidak boleh mengambil risiko,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
“Saya tidak mahu komen mengenai gol kedua yang dibatalkan kerana nanti saya didenda namun perkara yang positif adalah Zhafri kembali dan berjaya jaringkan gol yang akan naikkan lagi motivasi untuknya sebagai penyerang.
“Motivasi pasukan juga baik kerana Matko Zirdum dan Akram Mahinan sudah kembali berlatih dan dua pemain muda yang berada di Kemboja juga akan kembali dan ini berikan peluang buat kami untuk melakukan penggiliran pemain dan ini adalah pening kepala yang baik buat saya,” tambahnya lagi.
Meskipun tewas, Bojan tidak gusar dan kini akan menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya menentang Kelantan United FC dan akan melakukan ‘reset’ kepada pasukan.