KEDUA-DUA pengendali Melaka United dan PJ City masing-masing merasakan pasukan mereka mampu mendapatkan tiga mata penuh namun dihampakan kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
Pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat itu, Melaka United dan PJ City terikat 2-2 dalam perlawanan yang cukup menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan juga gol.
Bercakap kepada media pada sidang media selepas perlawanan, jurulatih Melaka United, Asri Ninggal berkata ketiadaan Adriano di dalam pasukan jelas mengganggu kreativiti bahagian tengah pasukannya.
Namun Asri tetap bersyukur dapat mencatat satu mata dan akan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi suku akhir Piala FA pada Sabtu dengan memperbaiki kesilapan yang telah dikenalpasti.
“Sepatutnya kita membawa pulang tiga mata tetapi disebabkan oleh kesilapan mudah kita benarkan PJ City untuk menyamakan kedudukan. Kami berjaya mengawal perlawanan selepas gol penyamaan tetapi kesuntukan masa untuk mencari tambahan gol dan saya bersyukur masih dapat satu mata.
“Kita kurang kreatif di bahagian tengah selepas kehilangan Adriano tetapi itu bukan alasan. Kami perlu menyalahkan diri sendiri kerana kita wajib mendapatkan tiga mata dalam perlawanan seperti ini tetapi ini adalah sebahagian daripada bola sepak.
“Untuk perlawanan Sabtu ini, kami akan sediakan pasukan terbaik untuk bertemu JDT. Pemain perlu rehat yang cukup dan semua pemain yang diberi peluang perlu bermain dengan baik,” jelas Asri.
Nada yang sama turut dikongsi oleh rakan sejawatnya, P Maniam yang juga merasakan mereka berhak mendapat tiga mata tetapi keghairahan mencari gol kemenangan dihukum dengan jaringan penyamaan oleh Melaka United.
Maniam juga berbangga dengan aksi yang ditampilkan barisannya dan akan sentiasa memberikan peluang buat semua pemainnya untuk beraksi dan berharap mereka dapat memberikan komitmen sepenuhnya di dalam padang.
“Kita boleh mengutip tiga mata dalam perlawanan ini tetapi sayang kita gagal menjaringkan gol ketiga. Para pemain terlalu ghairah di hadapan gawang dan akhirnya kita dibolosi dan tidak dapat mencatat kemenangan namun saya gembira dengan aksi mereka.
“Ianya adalah satu perlawanan yang menghiburkan. Kedua-dua pasukan ada peluang untuk menjaringkan gol. PJ City bermain secara satu pasukan dan berjaya mendahului dua kali tetapi beberapa kesilapan membenarkan lawan kembali mengikat kedudukan dan kami perlu belajar dari kesilapan ini.
“Banyak perubahan dilakukan dan pemain menunjukkan semangat yang baik. Kami akan terus memberikan peluang bermain untuk semua pemain dan mereka perlu berikan. Saya gembira kerana berjaya menghalang pemain Melaka yang lebih berpengalaman,” tambah Maniam.
Keputusan seri itu menyaksikan Melaka United kekal ditangga kelapan dengan 13 mata manakala PJ City satu tangga dibawah dengan 11 mata dengan kedua-dua pasukan sudah mengharungi 11 perlawanan.