TONGGAK pertahanan Terengganu FC, Safwan Mazlan mendedahkan bahawa kehadirannya ke kem pusat latihan kali ini adalah satu peluang besar untuknya merebut posisi di kesebelasan utama skuad kebangsaan.
Dengan ketiadaan beberapa pemain ‘senior’ seperti Darren Lok, Romel Morales, Syafiq Ahmad, Faisal Halim dan Arif Aiman untuk perlawanan menentang Republik Kyrgyz 6 Jun ini, Safwan tekad untuk mempamerkan aksi terbaik di hadapan pengendali, Kim Pan-Gon.
Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu tetap menyedari bahawa masih terdapat persaingan sengit dengan pemain lain demi mendapatkan tempat di barisan utama, walaupun ketiadaan beberapa pemain tersebut.
“Saya pemain muda, saya perlu lebih bekerja keras untuk mendapatkan tempat. Saya juga akui bahawa persaingan juga agak mencabar.
“Tetapi mungkin ini juga adalah peluang saya untuk mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh pemain-pemain ‘senior’ yang terlepas ke kem latihan kali ini akibat kecederaan.
“InsyaAllah, apa jua pun jika diberi peluang saya akan buat yang terbaik dan lebih bekerja keras,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM pada Ahad.
Dalam perkembangan sama, Safwan turut menyatakan bahawa satu perlawanan ujian skuad kebangsaan bersama pasukan Perak FC itu tidak mencukupi untuk menguatkan lagi keyakinan pasukan menjelang pertembungan antara Harimau Malaya dan Republik Kyrgyz nanti.
Walau bagaimanapun, dia tetap akur akan keputusan dan perancangan yang ditetapkan oleh jurulatih dan hanya fokus untuk mempersembahkan momentum terbaik sepanjang sesi latihan.
Skuad negara bakal mengharungi perlawanan kelima dan keenam Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz di Bishkek pada 6 Jun dan Chinese Taipei di Bukit Jalil pada 11 Jun 2024 ini.