SUKAN Taekwondo kembali ke dalam sukan teras bagi memastikan pembangunan atletnya terbela.

Setiausaha Agung Taekwondo Malaysia (TM), R. Dhanaraj berkata, persatuan itu berdepan masalah kewangan besar sehingga memberi kesan kepada pembangunan atlet muda dan berbakat.

Justeru, Dhanaraj berkata, pihaknya mahukan pertemuan dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi membincangkan isu Taekwondo supaya kembali dimasukkan ke dalam sukan teras.

“Kalau kita tidak tumpukan kepada program pembangunan, kesannya akan dirasai pada mas akan datang kerana impaknya adalah sukar untuk kita mendapat atlet terbaik, justeru, prestasi akan merudum.

“TM berdepan kekangan dana sebaik kita ditendang keluar dari program teras, semua perancangan kita terutama program sukan pembangunan di peringkat negeri mahupun persatuan terhenti. Ketiadaan dana dan sebagainya menyebabkan program pelapis dihentikan. Ini semua masalah-masalah yang kami hadapi.

“Situasi ini bukan sahaja mengancam pembangunan atlet remaja, tetapi membunuh semangat atlet dan jurulatih, serta membebankan TM untuk mendapatkan bantuan penajaan bagi kemajuan dan pencapaian meraih pingat emas Olimpik yang pertama melalui sukan taekwondo,” katanya.

Untuk rekod, Taekwondo digugurkan daripada sukan teras tanpa notis atau surat rasmi pada Disember 2017.

Justeru, Dhanaraj mahu satu pertemuan khas bersama KBS dalam tempoh terdekat ini untuk membincangkan hala tuju sukan taekwondo.

“TM telah menyediakan lapan muka surat untuk kita berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. Kita berharap menteri dapat pertimbangkan hasrat kita untuk kembali dalam sukan teras,” ujarnya.

Meskipun Taekwondo tidak lagi berada dalam sukan teras, mereka masih menjadi antara penyumbang pingat emas konsisten di dua Sukan Sea lalu iaitu di Filipina (2019) dan Vietnam (2021).

Di Filipina, Taekwondo meraih satu emas, dua perak dan lima gangsa manakala di Vietnam, mereka membutirkan masing-masing satu pingat emas dan perak serta  tiga gangsa.

Malah untuk temasya Kemboja tahun ini, TM mensasarkan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa, demi memperbaiki pencapaian prestasi di Hanoi.