TONGGAK pertahanan skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili menganggap bahawa ketiadaan beberapa pemain utama menjelang persiapan ke saingan Piala Asia B-23, Qatar tidaklah memberi masalah besar buat pasukan.

Ini kerana, pengendali pasukannya, Juan Torres Garrido telah memberi kepercayaan buat pemain-pemain muda baharu untuk mempamerkan bakat mereka, dan mereka juga telah berikan kualiti permainan yang cukup baik sepanjang perlawanan persahabatan yang telah berlangsung.

Beberapa tunjang pasukan seperti Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad, Nooa Laine dan Harith Haiqal Adam Afkar antara yang tidak dapat bersama dengan skuad B-23, berikutan pembabitan dengan skuad senior negara untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman.

Ubaidullah yang ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Isnin.

“Bagi saya, pemain yang sedang berada di sini sudah berikan yang terbaik buat pasukan dan mereka juga mempunyai kualiti tersendiri, walaupun tiada beberapa tunjang tersebut.

“Mungkin mereka antara tonggak utama bagi pasukan, tetapi jurulatih juga memberi kepercayaan terhadap pemain-pemain baharu dan buka peluang kepada mereka. Mereka pula dilihat menggunakan peluang itu dengan sehabis baik,” ujar Ubaidullah ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang India.

Sementara itu, Ubaidullah turut merakamkan ucapan terima kasih buat pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atas anugerah Pemain Terbaik Piala MFL dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2023 yang baru sahaja diumumkan semalam.

Pemain B-23 negara yang bakal menggalas peranan besar dalam membawa nama Malaysia di Asia.

“Insya Allah, saya akan gandakan lagi usaha dan cuba yang sebaik mungkin untuk dapatkan posisi kembali di liga kita. Selepas ini, saya hanya menunggu peluang untuk datang semula dan saya akan manfaatkannya sebaik mungkin,” katanya.

Skuad Harimau Muda telah mencatat dua keputusan memberangsangkan ketika menentang India dengan satu kemenangan dan satu keputusan seri untuk membina keyakinan pasukan sebelum ke Qatar.

Selepas ini, mereka dijadualkan akan terbang ke Qatar pada 1 April depan untuk menyahut cabaran (aksi persahabatan) dengan China dan Qatar, sebelum memulakan saingan Piala Asia B-23 yang berlangsung akan membuka tirainya pada 15 April 2024.