PENGENDALI Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui sedikit terkilan kerana tidak dapat menggunakan khidmat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa dan pemain Selangor FC, Mukhairi Ajmal dalam dua aksi persahabatan namun tidak menganggap ianya masalah yang besar buat Malaysia.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Natxo dan Mukhairi terpaksa diketepikan selepas ujian doktor kedua-dua kelab mengesahkan mereka mengalami kecederaan ketika mewakili kelab masing-masing di pertandingan Asia pada pertengahan minggu.

“Kecederaan sentiasa menjadi masalah kerana apabila kami menyenaraikan pemain, kami telah menganalisa prestasi semasa mereka dan kedua-dua pemain ini tidak dapat menyertai kem kali ini akibat kecederaan yang disahkan doktor pasukan.

“Mukhairi datang dan mempunyai beberapa isu dan kami tidak mahu merisikokan dirinya. Begitu juga Natxo yang apabila saya hubunginya secara peribadi, dia teruja untuk mewakili negara tetapi dia mengalami kecederaan ketika bertemu Ulsan.

“Natxo adalah pemain yang bagus dan kami akan merasai kehilangannya kerana sudah menunjukkan kualitinya tetapi kami mempunyai pemain dalam senarai simpanan yang sentiasa bersedia untuk menggantikan pemain yang tercedera,” katanya ketika hari pertama kem latihan pusat skuad kebangsaan di Kelana Jaya.

Pau Marti juga mahu menggunakan dua perlawanan persahabatan ini sebagai persiapan untuk menghadapi dua kejohanan berbeza dan menjangkakan aksi yang sukar di tempat lawan.

“Dua peluang buat kami bermain dalam dua perlawanan dengan dua pendekatan yang berbeza. Kami akan gunakan perlawanan menentang Laos sebagai persediaan mengharungi Piala ASEAN Mitsubishi Electric manakala India untuk mengharungi Kelayakan Piala Asia 2027.

“Saya menjangkakan dua perlawanan yang sukar di tempat lawan tetapi ianya baik untuk kami dan kami banyak belajar dari dua perlawanan di New Zealand sebelum ini,” jelasnya.

Malaysia bakal berhadapan Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November sebelum terbang ke Hyderabad, India untuk bertemu skuad kebangsaan India pada 18 November dalam usaha menambah mata dalam ranking Fifa.