KELAB Manchester United mungkin mungkin tanpa Andre Onana sehingga empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas ketidakpastian mengenai status antarabangsa penjaga gawang itu terjawab pada Khamis.

Pasukan Cameroon telah memanggil Onana untuk Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas berbulan-bulan dibelenggu keraguan sama ada dia bersedia untuk kejohanan itu.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu berhenti dari bola sepak antarabangsa selepas dia dihantar pulang dari Piala Dunia tahun lalu setelah berlaku pertelingkahan dengan presiden FA, Samuel Eto’o dan pengurus, Rigobert Song.

Onana membuat kejutan untuk membantu Cameroon layak ke AFCON pada September dan akan menjadi sebahagian daripada pasukan yang akan pergi ke Ivory Coast untuk perlawanan peringkat kumpulan mereka, yang bermula pada 15 Januari depan.

 

United dijangka untuk memohon penangguhan pelepasan Onana tetapi rendah kemungkinan dia akan dibenarkan beraksi menentang Tottenham di Old Trafford pada 14 Januari, hanya 24 jam sebelum Cameroon berdepan dengan Guinea dalam perlawanan pembukaan mereka.

Bekas penjaga gol Ajax itu dijangka akan bersedia untuk perlawanan Piala FA dengan Wigan Athletic pada minggu hadapan tetapi ia mungkin dilihat sebagai peluang untuk penjaga gol pengganti, Altay Bayindir.

Bayindir, yang merupakan penandatanganan musim panas bernilai £4 juta (RM23.43 juta) dari Fenerbahce, masih belum membuat penampilan sulungnya untuk United dan akan diberi peluang untuk membuktikan dirinya selepas keraguan berterusan tentang prestasi Onana.

Pengurus Erik ten Hag telah menerima berita baik dengan Lisandro Martinez yang semakin hampir kembali dari kecederaan patah tulang metatarsal yang dialaminya ketika berlawan dengan Bayern Munich pada September lalu.