PEMAIN tengah muda Harimau Malaya, Mukhairi Ajmal gembira dengan pemilihan ketiga-tiga kapten baharu Harimau Malaya dengan menganggap pengalaman yang ada pada mereka mampu membantu pasukan terutama pemain muda untuk meningkatkan prestasi.

Sebelum ini, Kim Pan Gon mengumumkan Syafiq Ahmad, Safawi Rasid dan Dion Cools sebagai kapten baharu Harimau Malaya yang menyaksikan pemain muda diberikan peluang untuk mengetuai pasukan.

Selain itu, pemain berusia 20 tahun itu teruja apabila mendapat peluang beraksi di bawah kendalian Kim Pan Gon bagi menghadapi kejohanan King’s Cup yang akan berlangsung dari 22 hingga 25 September 2022 di Chiang Mai.

“Bagi saya Syafiq Ahmad sudah lama bermain bersama pasukan kebangsaan dan begitu juga Safawi manakala Dion Cools pula mempunyai pengalaman yang luas di Eropah dan ini akan membantu kami pemain muda untuk tingkatkan prestasi.

“Alhamdulillah saya dapat bersama Harimau Malaya kali ini dan inilah peluang terbaik untuk saya tunjukkan kemampuan diri. Saya gembira kerana bukan senang untuk dapat bermain di bawah jurulatih baru dan peluang ini tidak akan saya sia-siakan,” katanya yang ditemui sebelum berlepas ke Chiang Mai.

Mukhairi turut menjelaskan bahawa setiap pemain sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan ini dan mereka juga sudah serasi serta memahami taktikal dan percaturan yang dilakukan oleh Pan Gon.

Malaysia akan menentang tuan rumah Thailand pada 22 September dengan pasukan yang menang akan layak ke perlawanan akhir menentang samada pasukan Tajikistan atau pun Trinidad dan Tobago pada 25 September 2022.