TERENGGANU FC (TFC) kalah kepada pasukan lebih baik.

Demikian luah pengendalinya, Tomislav Steinbruckner dalam sidang akhbar selepas tumpas 1-2 kepada Sri Pahang FC, pada Jumaat.

Jurulatih kelahiran Croatia itu mengakui kesilapan individu pemainnya sekali lagi menyumbang kepada kekalahan TFC yang bolos dua gol mudah dalam setiap separuh masa.

Steinbruckner berkata, TFC cuba bangkit dengan menguasai 45 minit kedua malangnya ketumpulan jentera serangan menyaksikan deretan peluang keemasan disia-siakan.

“Pasukan lawan beraksi lebih baik terutama separuh masa pertama di mana pergerakan Kpah Sherman gagal dikawal Sardor Kulmatov dan Shahrul Nizam Roshani dalam situasi satu lawan satu.

“Sherman memberi masalah kepada pertahanan TFC manakala gol kedua, kami memberi (Nor Azam Azih) terlalu banyak ruang sehingga jaringan kedua tercipta dari luar kotak.

“Itu adalah kesilapan besar di bahagian tengah dan kami berjaya mendominasi babak kedua namun dikecewakan tindakan penyudah yang tidak berkesan,” katanya.

Sherman kerap menghuru-harakan benteng pertahanan TFC.

Riak wajah kecewa turut terlihat pada wajah Steinbruckner yang meluahkan rasa terkilan dengan kekalahan berganda TFC selepas tewas 1-5 kepada Selangor, minggu lalu.

Menurutnya, beberapa pemain gagal berada pada tahap terbaik meskipun diberi peluang untuk mengubah keputusan perlawanan sehingga memberi kekalahan pertama di laman sendiri.

“Kelemahan dalam pasukan saya adalah kami lambat membuat keputusan ketika menerima bola dan saya sebenarnya mengharapkan lebih lagi daripada pemain.

“Saya kecewa apabila mereka jelas belum bersedia untuk diturunkan tetapi mahu berada dalam senarai pemain. Jadi itu yang harus diperkemaskan untuk masa akan datang,” katanya.