PASUKAN Negeri Sembilan FC (NSFC) kini berada pada tahap keyakinan tertinggi selepas berjaya meraih kemenangan pertama dalam Liga Super apabila menewaskan Sri Pahang FC di Temerloh dan kini bersedia untuk berhadapan Sabah FC di Stadium Likas pada Khamis.

Perlawanan yang ditukar venue selepas Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menjalani proses penambahbaikan padang itu sekali lagi akan menjadi ujian besar buat skuad Jang yang bebas dari sebarang kecederaan.

Pengendali NSFC, Azzmi Aziz bagaimanapun mahu pemainnya terus fokus dan mengelak dari melakukan kesilapan-kesilapan kecil yang boleh menjejaskan peluang mereka melakar kejutan ke atas skuad Badak.

Azzmi Aziz mahu pemain kurangkan kesilapan jika mahu kejutkan Sabah (kredit foto: NSFC)

“Persiapan berjalan lancar selepas kita pulang dari Temerloh dengan membawa tiga mata pertama musim ini. Para pemain juga dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan dan Jacque Faye juga sudah kembali selepas menjalani penggantungan satu perlawanan.

“Kami telah melakukan analisa terhadap permainan pasukan Sabah dan nampak jelas corak permainan yang mereka tunjukkan. Harapan kami adalah pemain dapat berikan aksi terbaik di dalam padang selepas mempamerkan aksi positif ketika menewaskan Sri Pahang.

“Kesemua pemain juga berada pada tahap keyakinan yang baik tetapi pada masa yang sama kami menghormati pasukan Sabah yang dikenali sebagai satu skuad yang baik dan pemain perlu elak dari melakukan kesilapan untuk berpeluang menyekat mereka,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN. 

Hein Htet Aung dan Takumi Sasaki sekali lagi jadi sandaran NSFC (kredit foto: NSFC)

Sabah FC juga sudah pasti mahu menjadikan perlawanan ini sebagai medan kebangkitan selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim 1-3 sebelum ini dan Azzmi berharap pemainnya lebih berhati-hati ketika beraksi.

Sebarang keputusan positif dari Likas akan menyaksikan NSFC berpeluang untuk keluar dari tangga terbawah Liga Super dan kejayaan membenam Tok Gajah di laman lawan pastinya akan menjadi pemangkin semangat untuk kesemua pemain.