KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain, masih berteka-teki berhubung masa depannya bersama finalis Piala FA itu bagi saingan musim depan.
Menurutnya, masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan sambil turut menafikan desas-desus mengaitkan dirinya sebagai pengendali baharu Selangor.
Nafuzi berkata, dia belum menerima atau bersetuju dengan tawaran daripada mana-mana pasukan dengan fokusnya kini terarah mempersiapkan pasukan TFC dalam baki saingan musim ini.
“Tiada lagi tawaran termasuk daripada TFC sendiri dan kami juga tidak pernah berbincang mengenai perancangan pasukan musim depan.
“Mungkin terlalu awal lagi. Banyak perlawanan perlu ditempuhi TFC termasuk Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia yang akan mendatang, itu keutamaan saya sekarang.
“Namun saya tidak boleh meramal apa yang akan berlaku. Jika ada pihak mahu datang berbincang, saya sedia terima sebagai seorang yang profesional,” ujarnya ketika ditemui Flash Sukan pada Jumaat.
Jelas Nafuzi, dia menganggap khabar angin mengenai nasibnya sebagai asam garam dan lumrah dalam bola sepak selain menafikan ianya mengganggu moral skuad Sang Penyu.