SELEPAS musim lepas yang kurang menjadi bersama Kedah Darul Aman FC, Khairu Azrin Khazali mengharapkan jalan cerita baharu yang lebih cemerlang bagi membantu perjuangan Kelantan United di Liga Super.
Tambahnya, apa terjadi di Kedah bukan salah sesiapa tetapi akui tahap persaingan yang tinggi menjadi punca apabila dia kurang dipilih dalam kesebelasan utama.
Namun, pemain berusia 31 tahun itu tidak terlalu kecewa sambil menyatakan itu sebagai asam garam serta lumrah yang perlu dilalui oleh mana-mana pemain profesional.
“Di Kedah, saya sudah cuba yang terbaik namun sukar untuk bermain lebih kerap kerana terlalu ramai pemain di bahagian tengah seperti Dechi Marcel, Sanrawat (Dechmitr), Fadzrul Danel dan Asnan Ahmad.
“Jadi, saya harap pemergian ke Kelantan United mampu kembalikan keyakinan saya dengan cuba memburu tempat dalam kesebelasan utama.
“Satu lagi faktor, saya mahu kembali bekerjasama dengan Trucha kerana semasa di Penang, saya berada di bawahnya dan di sanalah, saya melalui salah satu detik terbaik dalam karier.
“Harap dengan beliau, saya mampu pamerkan apa yang boleh diberikan di atas padang kerana Trucha banyak memahami gaya permainan saya selaku pemain tengah bertahan,” katanya.
Bersama Penang pada 2020 hingga 2021, Khairu menjadi tunjang utama kepada kekuatan bahagian tengah terutama dalam aspek bertahan yang membantu Penang FC untuk melakar kejutan apabila menamatkan cabaran di tangga ketiga Liga Super pada musim 2021.
Situasi itu berbeza semasa di Kedah apabila dia hanya mendapat 16 penampilan (710 minit permainan) dengan 9 bermula dalam kesebelasan utama dan 7 dari bangku simpanan di pentas Liga Malaysia.
Selain itu, dia turut pernah beraksi cemerlang semasa di PKNS FC dari musim 2011 hingga 2015 selain Felda United dan Terengganu FC.