PENJAGA gol Selangor FC Khairul Azhan Khalid menyifatkan persaingan untuk merebut penjaga gawang No.1 di kelab itu sebagai sihat.
Penjaga gol di Selangor FC terdiri daripada Khairul Azhan, Sam Somerville dan terbaharu penjaga gol muda yang baru dibeli dari Kuala Lumpur City FC, Azim Al Amin.
Khairul Azhan bermain sebanyak 14 penampilan liga manakala Sam pula 13 penampilan liga musim lalu bersama pasukan The Red Giants.
“Saya akan tunjuk kepada coach dan akan bagi 100 peratus ketika latihan, terpulang kepadanya untuk menentukan sama ada saya layak atau tidak untuk bermain kesebelasan utama.
“Antara ketiga-tiga penjaga gol semua bagus belaka, semua ada kebolehan masing-masing jadi kita akan bersaing secara sihat untuk menjadi penjaga gawang nombor satu Selangor.
“Dalam latihan saya kena berusaha keras supaya saya berjaya mendapatkan kepercayaan coach untuk bermain dalam kesebelasan utama nanti,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Khairul Azhan telah bersama pasukan Selangor FC sejak 2016 lagi dan telah melakukan 98 penampilan liga dengan pasukan itu.