PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji aksi tangkas yang ditunjukkan penjaga gol berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat ketika dia membantu The Rhinos menewaskan Kelantan Darul Naim 3-2 di Stadium Sultan Muhammad IV pada Jumaat.
Khairul Fahmi atau mesra disapa Apek menyelamatkan sepakan penalti Chadrak Mazungu pada babak pertama sekaligus memastikan kemenangan pertama menjadi milik Sabah dalam kempen Liga Super 2024-25.
Gol-gol Sabah dijaringkan oleh Gabriel Peres, Stuart Wilkin dan Ramon Machado manakala dua jaringan pemain Republik Korea, Kim Li-kwan dan Bae Kyeong-hwan merapatkan jurang buat Kelantan Darul Naim dalam aksi yang cukup menarik.
“Dia tidak pernah menghampakan saya,” puji Kim Swee kepada Apek yang sebelum ini pernah membantu bekas jurulatih B-23 tahun kebangsaan itu memenangi pingat emas acara bola sepak ketika Sukan Sea di Jakarta pada 2011.
Meksipun mencatatkan kemenangan, Kim Swee masih tidak berpuas hati kerana para pemainnya masih mensia-siakan peluang di mana mereka seharusnya menang lebih selesa dalam perlawanan ini.
“Kita gagal menyempurnakan peluang terutama selepas mendahului 3-1 dan ini memberikan peluang buat pasukan lawan untuk bangkit sekali gus meletakkan tekanan buat pasukan namun kita bernasib baik kerana berjaya mempertahankan kemenangan ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Kemenangan itu meletakkan Sabah FC di tangga teratas liga dengan empat mata selepas dua perlawanan namun kedudukan itu dijangka berubah apabila kesemua pasukan lain akan beraksi pada Sabtu dan Ahad.