BEKAS juara pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan mahu mencabar kejuaraan di Sukan Sea Kemboja Mei depan.
Meskipun sudah hampir dua tahun tidak beraksi dalam acara riben biru, atlet berusia 24 tahun berasal dari Melaka itu menganggap peluangnya meraih pingat di Kemboja tetap ada, terutamanya selepas melakukan catatan terbaik tahun ini, 10.51 saat (s) pada Kejohanan Trek dan Padan KOM 2023, Januari lalu.
“Setakat ini, prestasi saya agak memuaskan dan catatan yang saya lakukan itu memang untuk melepasi kelayakan sahaja.
“Mengikut kondisi saya yang sudah lama tidak berlari dalam acara ini selepas alami kecederaan hamstring, saya comeback dengan 10.51s itu tidak mudah… untuk pelari yang sudah lama dan sentiasa menjalani latihan juga tidak mudah mendapatkan masa itu,” katanya.
Mengakui kini sudah bebas dari belenggu kecederaan, Khairul Hafiz mengakui dia perlu memperbaiki aspek ketahanan.
“Insya Allah boleh peak di Kemboja kerana kita ada dua bulan lagi untuk melakukan persiapan. Pada 16 Mac ini kami akan bertolak ke Australia hingga 4 April, mungkin akan serta beberapa kejohanan di sana,” kata Khairul Hafiz yang juga pemenang pingat emas 100 meter (m) Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.
Khairul Hafiz akan menjalani latihan di Australia bersama Muhammad Arsyad Md Saat, Muhammad Haiqal, Muhammad Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa dan diiringi jurulatih Mohd Poad Md Kassim, dan dijangka bergabung dengan pelari pecut negara yang berpangkalan di sana, Russel Alexander Nasir Taib.
Selepas 2017, kejayaan Khairul Hafiz diteruskan Muhammad Haiqal Hanafi yang memenangi pingat emas pada Temasya 2019 di Filipina, sebelum gelaran raja pecut berpindah ke Thailand apabila Puripol Boonson memenanginya di Hanoi.
“Pilihan pastinya masih Puripol dan kehadirannya menaikkan lagi semangat saya untuk membuat catatan masa lebih bagus.
“Saya memandang jauh, jika tidak memenangi emas, mungkin dengan catatan lebih baik saya boleh melepasi kelayakan ke Sukan Asia,” katanya.
Pada temasya Hanoi 2021, Puripol memenangi emas dengan catatan masa 10.44s, namun menurut Khairul Hafiz, segala-galanya bergantung pada hari pertandingan dan mana-mana pelari pecut mampu melakukan kejutan.