ATLET layar negara, Khairulnizam Mohd Affendy, ingin mendapatkan input berharga dari venue sukan layar Olimpik Paris 2024 sebelum menjalani latihan di Marseille bulan hadapan.
Latihan selama 15 hari bermula 1 Jun ini ini adalah sebahagian daripada persediaan intensif untuk memastikan prestasi terbaik di temasya sukan terbesar dunia itu.
Baginya, ini merupakan peluangnya untuk memahami keadaan angin dan ombak di kawasan itu sebelum sukan berprestij itu bermula Julai depan.
“Sejujurnya saya tak pernah mencuba venue pertandingan (Marseille) itu jadi ini adalah peluang saya untuk mendapatkan segala input di kawasan itu.
“Keadaan laut berbeza di setiap tempat. Ombak, arus dan angin juga berbeza jadi sebagai pelayar saya kena cepat menyesuaikan diri dengan suasana itu sebaik dan bersiap sedia sebelum Sukan Olimpik,” katanya selepas ditemui media.
“Sukan pelayaran ni kalau pergi awal untuk memahami dan berlatih di venue itu lagi bagus sebenarnya. Ia sangat penting untuk sukan pelayaran sebab kita mahukan data dia.
“Kita nak tahu bagaimana angin dan ombak di situ sebab ia boleh datang pelbagai arah. Jadi, kita nak kena memahami semua benda tu,” tambahnya lagi.
Pemenang pingat perak dua kali Sukan Asia itu mengakui bahawa dirinya berada di tahap yang terbaik dan akan cuba untuk membuat kejutan ketika acara sukan itu bermula pada 28 Julai.
Beliau kini berada di kedudukan ranking ke-18 dunia dalam sukan pelayaran. Tiada atlet layar negara yang pernah berada dalam kedudukan ranking 20 terbaik dunia sebelum ini.