PELAYAR negara, Khairulnizam Mohd Afendy mengetuai kejayaan di Korea Selatan apabila memastikan Malaysia muncul juara 16th Yusunsin Cup International Yatch Race.
Pada perlumbaan di Tongyeong City, Gyeongsangnam-do itu, Khairulnizam bersama Asri Azman, Ahmad Faizul Aswad Mohamed dan Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri dari Team Monsoon muncul juara mengatasi enam pasukan lain.
Khairulnizam berkata, tujuh pasukan daripada empat negara bertanding dalam acara itu.
“Kami jarang menggunakan 70 gear, jadi pada hari pertama kami buat yang terbaik dan tiga kami menang tempat pertama tiga kali. Pada hari kedua, kami hanya mendapat tempat pertama sekali dan berada di depan dengan agak selesa.
“Pada hari terakhir, ada lima perlumbaan lagi dan ia berlangsung sengit kerana pasukan lain meningkatkan prestasi,” katanya.
Pada perlumbaan itu, Team Monsoon yang diwakili Khairulnizam, Asri, Ahmad Faizul dan Ahmad Hakimi muncul juara, mengatasi Team Zhik dari Korea Selatan kedua dan tempat ketiga satu lagi pasukan dari Malaysia, Team UMT/KSA.
Hasil kemenangan itu, Khairulnizam dan rakan-rakannya memenangi hadiah wang tunai ₩3juta (RM10,109).
Pada Mac lalu, Khairulnizam mengungguli Piala Eropah dekat Pollensa, Sepanyol.