Oleh MOHD FARIQ

DESAS-desus di koridor Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dikhabarkan dua ahli politik terkenal tanah air, Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz antara nama yang dikaitkan dengan jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Terdahulu, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang masih menjadi penyandang Presiden BAM telah membuat pengumuman untuk melepaskan jawatannya pada penghujung tahun ini.

Dek keputusan Norza yang merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu, timbullah perkhabaran yang mengaitkan dengan beberapa nama besar seperti Khairy dan Tengku Zafrul.

Khairy bukan satu nama asing dalam bidang sukan apabila bekas Ahli Parlimen Rembau ini pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula 2007 sehingga 2010 dan masih menyandang jawatan Naib Presiden Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) selain pernah menjawat Menteri Belia dan Sukan.

Sementara Tengku Zafrul yang memegang portfolio sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri juga dikatakan calon hangat berbekalkan pengalaman perbankan dan aktif sukan, untuk mengisi kekosongan jika Norza kekal pendiriannya untuk melepaskan jawatan Presiden BAM.

Pun begitu, meneruskan legasi atau perjuangan Norza bukanlah menjadi satu tugas yang mudah buat kepada mana-mana calon yang berminat menjadi Presiden BAM baharu nanti.

Sejak berada di bawah kepimpinan Norza bermula tahun 2017, BAM dilihat telah bergerak proaktif dan banyak melancarkan program bagi mempertingkatkan kualiti akar umbi atlet badminton negara.

Justeru, cabaran buat Khairy atau Tengku Azful jika terpilih menjadi Presiden BAM seandainya Norza masih kekal dengan keputusan untuk melepaskan jawatannya pada penghujung tahun 2023.

Namun ada segelintir pihak seperti Datuk Misbun Sidek yang masih mengharapkan Norza dapat menarik balik keputusan melepaskan jawatan dan terus kekal sebagai Presiden BAM.

Sebagai sukan No. 2 negara, rata-rata berpendapat kewibawaan Norza masih terus ditagih dalam usaha mengangkat serta mengembalikan kemegahan badminton negara.

Ini kerana Norza telah meninggalkan satu platform BAM dengan sumber yang cukup kukuh baik sama ada sistem pentadbiran dan kewangan.