TIMBALAN  Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Ali Abd Halim berkesempatan menziarahi legenda bola sepak negara Mohd Khalid Mohd Ali atau lebih dikenali Khalid Ali yang disahkan menghidap barah paru-paru tahap empat di kediamannya pada Khamis.

Dalam masa yang sama, Adam juga menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM17,000 sebagai bantuan kepada Khalid Ali untuk kegunaan rawatan susulan selepas menjalani dua sesi kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Mayala (PPUM).

Adam Ali menyerahkan bantuan kepada Khalid Ali di kediamannya

“Terima kasih kepada Malek Noor dan sahabat lain yang melawat legenda bola sepak kita di mana sampai hari ini orang ramai masih lagi menagih pandangan, kepakaran dan kritikan beliau dalam dunia bola sepak.

“Semoga bantuan yang diserahkan hari ini dapat meringankan sedikit beban kewangan beliau dalam meneruskan rawatan kimoterapi terutama sekali dalam usaha beliau dalam melawan kanser yang dihadapi.

Dalam pada itu, Adam juga menekankan bantuan yang dilakukan oleh Yakeb menjadi rutin biasa dalam usaha mengisi keperluan bekas atlet negara yang memerlukan bantuan daripada pelbagai segi.

“Sebenarnya ini bukanlah satu perkara yang baharu sebaliknya menjadi urusan biasa oleh Yakeb yang secara aktif sentiasa melawat dan mengambil tahu keperluan bekas atlet negara dari semasa ke semasa,” tambahnya.

Dari kiri: Adam Adli, Khalid Ali, Malek Noor

Turut hadir menziarah Khalid Ali di kediamannya di Keramat adalah Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan Ahli Lembaga Pengarah yang juga legenda bina badan negara, Datuk Malek Noor.