PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad memberitahu tindakan pihak yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang kononnya berlaku aktiviti penyelewengan dana oleh KLFA adalah berniat jahat dan cuba memburukkan nama persatuan itu.

Khalid yang ditemui di sidang media khas di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menjawab pertuduhan ini kepada media selepas didakwa ada salah laku yang berlaku seperti yang dilaporkan sebuah akhbar arus perdana pada Khamis.

Dia juga menyangkal dakwaan yang menyatakan KLFA telah memajak tanah akademi di Taman Melati dengan harga RM3 juta sedangkan nilai tanah itu adalah kira-kira RM60 juta.

“Pelbagai cabaran dihadapi saya sebagai presiden terutama selepas KL City bergelar juara Piala Malaysia. Tekanan diberikan kepada saya untuk mengosongkan jawatan namun ianya tidak boleh dilakukan kerana saya dilantik menerusi pemilihan untuk tempoh empat tahun.

“Laporan yang dibuat kepada SPRM dan media ini berniat buruk untuk menjatuhkan imej KL City yang sudah mencapai kejayaan. Ramai yang tertanya-tanya bagaimana pasukan yang hanya mempunyai tajaan hanya 5 juta berbanding bajet 12 juta mampu menjadi juara Piala Malaysia.

“SPRM hanya mahu mendapatkan maklumat berhubung laporan yang diterima dan mereka datang dengan baik dan bukannya menyerbu pejabat kami seperti yang dilaporkan dan tidak ada kes sebegitu berlaku.

Tujuan perkara ini dilakukan adalah untuk menimbulkan kecurigaan terhadap barisan pengurusan oleh mereka yang cemburu dengan kejayaan kami kerana mahu penaja-penaja berpotensi menjauhkan diri.

“Nilai tanah akademi bernilai hampir RM60 juta dan bukannya RM3 juta seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar. Syarikat yang didakwa menerima pajakan itu juga bukanlah anak syarikat Jakel dan tindakan undang-undang akan diambil untuk membersihkan nama pengurusan KLFA,” katanya dalam sidang media khas itu.

Selain itu, Khalid juga telah menzahirkan perasaan kecewa dan marah dengan peristiwa rusuhan yang berlaku selepas perlawanan malam tadi. Perkara ini dilakukan oleh golongan pengacau yang diupah kerana rasa cemburu dan kecewa melihat kejayaan KL City.

“Satu laporan polis telah dibuat dan pengurusan KLFA akan menyokong apa sahaja tindakan daripada pihak polis dan akan mereka juga tidak akan berkrompomi dan golongan ini akan dipastikan untuk tidak menghampiri stadium,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, KLFA juga sedang dalam sebutan kes di mahkamah dengan sebuah syarikat berhubung isu pajakan stadium dan akan membuat laporan kepada SPRM supaya menyiasat syarikat itu.

“Saya hanya mahu bermain bola sepak dan tidak mahu berpolitik. Saya hanya mahukan sebuah pasukan bola sepak yang boleh mengharumkan nama Kuala Lumpur dan juga Malaysia seperti yang sedang kami lakukan sekarang.”

Laporan kepada SPRM ini dilihat sedikit menggangu kejayaan KL City muncul juara final Zon Asean Piala AFC 2022 selepas menewaskan PSM Makassar 5-2 pada Rabu.