DALAM mendepani masalah kewangan, salah satu solusi yang telah dibuat adalah melalui pinjaman bank sebanyak RM 300,000 bagi membayar tunggakan gaji pemain Kuala Lumpur (KL) City FC.
Perkara itu telah didedahkan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) iaitu Khalid Abdul Samad apabila turut mengakui bahawa beliau dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stanley Bernard membuat pinjaman peribadi secara berasingan dengan nilai yang agak besar tersebut.
Menurut Khalid, kaedah yang dilakukan ini agar para pemain The City Boys itu dapat terus menonjolkan aksi yang cemerlang sekali gus meningkatkan tahap keyakinan mana-mana pelabur yang sedang mengintai kelabnya.
Ujarnya dalam sidang media, “Dengan masalah yang dihadapi, saya telah ambil pinjaman peribadi dalam RM300,000 dan saya rasa Stanley juga membuat pinjaman sedemikian.
“Maka disini, kami mengambil tanggungjawab untuk menanggung masalah kelab dan bukan kelihatan untuk memegang jawatan kosong sahaja.
“Kita sangat komited untuk memastikan gaji pemain dibayar dan tidak tertunggak lebih daripada dua bulan,” tambahnya pada sidang media di Stadium KLFA, Khamis.