PETINJU berpengalaman negara, Khir Akyazlan Azmi masih menyimpan hasrat untuk memenangi pingat emas pertama di temasya Sukan SEA, biarpun kini sudah mencecah usia 30 tahun.
Selepas gagal melakukannya pada dua temasya lalu, petinju berasal dari Pasir Puteh, Kelantan itu nekad mahu menebus kehampaan, namun dia perlu membuktikan yang dia layak beraksi di temasya Kemboja, Mei tahun hadapan.
“Dalam tinju, memang saya paling senior dan saya berharap sangat untuk layak menyertai Sukan SEA Kemboja, mungkin buat kali terakhir.
“Tapi saya perlu buktikan saya layak menerusi beberapa kejohanan kelayakan yang ada. Paling dekat adalah Piala Presiden di Perak dan Terbuka Pesta Pulau Pinang yang akan berlangsung Disember ini,” kata Khir.
Katanya, selain dua kejohanan itu, ada beberapa lagi kejohanan termasuk di luar negara awal tahun hadapan, yang menjadi platform kelayakan ke Sukan SEA Kemboja.
Ujarnya lagi, dia perlu sekurang-kurangnya menjuarai salah satu daripada kejohanan yang disertai bagi membolehkannya layak ke temasya itu.
Pada temasya di Manila, Filipina tahun 2019, Khir yang beraksi dalam kategori Light Heavyweight (81 kilogram (kg), sekadar meraih pingat gangsa selepas tewas kepada petinju Thailand, Anavat Thongkrathok di separuh akhir.
Dia yang berpeluang menebus kehampaan di Sukan SEA Hanoi, Vietnam, Mei lalu apabila sekali lagi bertemu Anavat di separuh akhir, namun keputusan sama berulang, apabila Khir tewas 0-5 dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa buat kali kedua.
Untuk rekod, skuad tinju negara memenangi satu daripada enam pingat emas yang ditawarkan apda temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Namun pada 2019 di Manila, Malaysia sekadar menang tiga gangsa daripada 13 pingat emas, manakala di Hanoi 2022 pula, pencapaian sama tiga pingat gangsa dimenangi daripada 11 pingat emas yang ditawarkan.